
PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen DAP menyifatkan adalah tidak tepat kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berpunca sepenuhnya daripada naratif kaum oleh parti lawan.
Menurut bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr. Ong Kian Ming, PH sebaliknya turut mendapat manfaat daripada naratif yang menggalakkan pengundi bukan Melayu bersatu bagi meningkatkan pengaruh politik gabungan itu.
Kata bekas Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu, perkara tersebut perlu dilihat secara seimbang kerana politik identiti telah lama menjadi sebahagian daripada landskap politik negara.
“Apabila saya mendengar sidang media selepas pilihan raya PH, mesej yang disampaikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad ialah mereka kalah kerana naratif perkauman yang digunakan pihak lawan ketika pilihan raya Negeri Sembilan.
“Ia berlaku dua hala. Pada masa lalu, PH mungkin juga mendapat manfaat secara tidak langsung daripada seruan supaya pengundi bukan Melayu bersatu untuk memperoleh kuasa politik lebih besar,” katanya menerusi podcast Keluar Sekejap malam tadi.
Sebelum ini, Amirudin yang juga Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) menyifatkan kempen PRN Negeri Sembilan ke-16 bersifat identiti dan perkauman luar biasa sehingga menyebabkan kekalahan PH.
Sementara itu, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, PH sebelum ini turut menggunakan rujukan ‘gelombang hijau’ sebagai mesej tersirat untuk menarik sokongan pengundi Cina.
Katanya, mesej tersebut mempunyai persamaan dengan seruan BN dan PN ketika ini yang menekankan perpaduan Melayu bagi mempertahankan kepentingan masyarakat Melayu.
“Dalam kedua-dua keadaan, tiada siapa secara terbuka menyatakan ia dilakukan dengan mengorbankan pihak lain. Perkara itu tidak pernah disebut. PH juga tidak pernah berkata demikian.
“Namun, mesej tersirat yang dibawa adalah sama,” katanya. – UTUSAN
The post Dakwaan PH kalah faktor naratif kaum tidak tepat – Kian Ming appeared first on Utusan Malaysia.






