PRU16: PKR Lumut mahu kerusi DUN Pangkor

LocalPolitics
16 Mar 2026 • 4:43 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Abdul Razak (duduk, empat dari kiri) bersama pimpinan PKR Cabang Lumut ketika MATC cabang berkenaan yang berlangsung pada Sabtu.

IPOH – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Lumut mengemukakan usul tergempar menuntut agar kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor diberikan kepada parti itu untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ketua Cabang PKR Lumut, Abdul Razak Nazri berkata, usul berkenaan diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) PKR Lumut 2026 pada Sabtu lalu sebagai usaha memperkukuh kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di kawasan Parlimen Lumut.

Menurutnya, tuntutan tersebut mencerminkan aspirasi akar umbi parti yang melihat PKR mempunyai kekuatan organisasi serta jaringan sokongan kukuh di Parlimen Lumut termasuk di DUN Pangkor.

"Sehubungan itu, perwakilan MATC berpandangan bahawa tuntutan agar PKR diberi ruang untuk bertanding di DUN Pangkor pada PRU16 adalah selari dengan sejarah perjuangan politik kawasan ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Abdul Razak berkata, PKR pernah memenangi kerusi Parlimen Lumut pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bagi tempoh 2013 hingga 2018 ketika berada dalam gabungan Pakatan Rakyat.

Menurutnya, pada PRU14 pula, kerusi Parlimen Lumut terus kekal dalam blok reformasi apabila dimenangi Pakatan Harapan menerusi Parti Amanah Negara (Amanah).

Sementara itu, beliau menjelaskan dalam kerangka Kerajaan Perpaduan, pengagihan kerusi dalam kalangan parti komponen perlu dilakukan secara strategik dan seimbang berdasarkan kekuatan sebenar di peringkat akar umbi.

Jelasnya, faktor sejarah sokongan pengundi, keaktifan jentera parti serta potensi kemenangan juga perlu diambil kira dalam rundingan pengagihan kerusi menjelang PRU16.

Menurut Abdul Razak, PKR Lumut selama ini konsisten turun padang menyantuni rakyat serta memperjuangkan isu masyarakat setempat tanpa mengira latar belakang kaum dan politik.

Justeru, beliau menggesa kepimpinan tertinggi PKR serta pimpinan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan memberi pertimbangan serius terhadap tuntutan akar umbi tersebut.