PRU16 serentak PRN bergantung situasi politik, perkenan raja-raja - Ahmad Zahid

LocalPolitics
3 May 2026 • 5:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ditemubual media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Sebarang cadangan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) secara serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, bergantung sepenuhnya kepada situasi politik semasa serta perkenan Raja-Raja dan Yang Dipertua Negeri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun tempoh pentadbiran Melaka dan Johor bakal berakhir tidak lama lagi, keputusan akhir tertakluk kepada kuasa ketua negeri berdasarkan nasihat Menteri Besar dan Ketua Menteri.

"Bagi saya perkara ini tertakluk kepada persetujuan Raja-Raja dan TYT (Tuan Yang Terutama) atas nasihat Menteri Besar atau Ketua Menteri yang mempunyai kuasa untuk pembubaran.

"Tentunya (selain itu) ia juga melihat tentang dana (kewangan) yang boleh digunakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan pilihan raya negeri.

"Kosnya terlalu tinggi dan kalau diadakan serentak pun kos yang sama dibelanjakan, selain soal timing dan kesesuaian waktu”, katanya dalam temu bual sempena Ulang Tahun ke-80 UMNO di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada PRU16 wajar diadakan serentak dengan PRN Melaka dan Johor, dalam keadaan negara berdepan krisis bekalan global serta langkah penjimatan kerajaan.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya pada bila-bila masa.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan agar ahli parti agar tidak terlalu selesa, kerana sokongan daripada ahli UMNO dan parti komponen sahaja tidak menjamin kemenangan mutlak.

"Jadi kita mesti mendakap dan merangkul dukungan daripada mereka yang non-partisan atau yang belum menjadi ahli mana-mana parti atau tidak berminat, tetapi yakin dengan agenda yang kita ketengahkan untuk kepentingan semua kaum di negeri-negeri berkenaan ataupun di dewan undangan negeri yang kita akan letakkan calon kita,” katanya.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dijangka terbubar secara automatik pada 27 Disember ini, manakala Johor pada 21 April tahun depan.

Mengikut peruntukan undang-undang, SPR mempunyai tempoh sehingga 60 hari selepas pembubaran untuk mengadakan pilihan raya. Ini bermakna PRN Melaka perlu diadakan selewat-lewatnya sekitar Februari 2027, manakala Johor sekitar Jun 2027, sekiranya pembubaran berlaku secara automatik.- Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved