
KUALA LUMPUR — Wujud pihak tertentu yang berniat melagakan Timbalan Presiden Umno dengan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, demikian pengakuan Datuk Seri Mohamad Hasan yang memilih untuk tidak mengendahkan dan terus setia bersama parti.
Mohamad yang berucap pada pembukaan Konvensyen 80 Tahun Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini, berkata pelbagai usaha dilakukan untuk mencetuskan perpecahan dalam kepimpinan parti, namun enggan melayan percubaan itu.
“Ada orang nak lagakan saya dengan Datuk Seri (Zahid). Apa orang tak cakap pasal Datuk Seri, adu domba untuk lagakan.
Tetapi saya butakan mata dan tenangkan jiwa untuk bersama dengan parti,” katanya yang disambut tepukan semangat hadirin dalam kalangan pemimpin dan ahli Umno.
Jelas Mohamad, pada usia 70 tahun beliau tidak lagi mengejar kedudukan atau kerjaya politik, sebaliknya mahu menumpukan sumbangan kepada Umno dan negara.
“Saya bercakap hari ini ketika menyambut usia 70 tahun. I got nothing to lose.
Saya bukan lagi nak cakap pasal kerjaya, tetapi hendak bagi balik sumbangan kepada parti dan negara,” katanya.
Zahid dan Mohamad mula mengemudi Umno sejak 2018 selepas PRU14 menyaksikan parti itu hilang tampuk pemerintahan di Putrajaya.
Mohamad dalam ucapannya turut menegur Ahli Umno supaya tidak terus leka dibuai nostalgia dan diingatkan berhenti menjual sejarah, sebaliknya mula 'menjual' masa depan demi kelangsungan serta kembalikan keyakinan rakyat terhadap parti.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata orang Melayu sebenarnya inginkan keyakinan masa depan yang boleh Umno tawarkan, bukan rintihan emosi, tagihan simpati, balasan hutang budi atau tuntutan terima kasih.
"Ambillah pengajaran daripada parti lain di seluruh dunia yang seusia dengan kita. Ramai yang telah lupus. Yang masih ada, tidak lagi segah dan sekuat dahulu. Umno tidak boleh kita biarkan sedemikian.
"Benar, kita telah melalui satu katarsis politik yang besar. Kita menyaksikan kesusutan sokongan rakyat dalam beberapa pilihan raya yang lalu. Kemuncaknya pada 2018. Saat kita tewas dan tergelincir daripada kuasa. Saat paling getir dalam sejarah Umno.
"Kita diberikan eulogi. Kita diberikan ucapan belasungkawa. Malah, kita hampir 'ditalkinkan' oleh lawan dan juga oleh sebahagian daripada kita sendiri. Tetapi Umno terus berkelangsungan. Ia tidak terkubur. Malah segala gelora dan badai yang Umno tempuhi itu, telah dilayari dengan tekad yang utuh untuk merawat dan memulihkannya.
Justeru katanya, gunakanlah medan dan arena sebegini untuk mencari ilham serta idea baharu lagi tuntas, bagi kelangsungan Umno untuk seabad mendatang. - 2 Mei, 2026
The post “I got nothing to lose”, Mohamad Hasan pilih setia, bukan kuasa appeared first on Scoop.





