MBSB Research: Kenaikan kos rawatan, tekanan inflasi perubatan beri cabaran terbesar ke atas sektor insurans pada 2026

LocalBusiness & Finance
3 Jun 2026 • 9:55 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MBSB Research: Kenaikan kos rawatan, tekanan inflasi perubatan beri cabaran terbesar ke atas sektor insurans pada 2026 Image from: MBSB Research: Kenaikan kos rawatan, tekanan inflasi perubatan beri cabaran terbesar ke atas sektor insurans pada 2026 amree03/06/2026 - 09:55 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Jun — Kenaikan kos rawatan perubatan sehingga 50% serta tekanan inflasi semakin ketara dijangka memberi cabaran terbesar kepada industri insurans tahun ini, kata MBSB Research.

 

Firma penyelidikan tersebut menambah, situasi negatif berkenaan sekali gus berpotensi memburukkan kesan kepada kadar premium dan keuntungan pelbagai syarikat dalam sektor insurans di Malaysia.


Bagaimanapun, ia terus mengekalkan penarafan 'positif' terhadap sektor tersebut dengan masih lagi berpandangan yang prospek pertumbuhan jangka panjang industri berkenaan sebenarnya adalah kukuh.


"Kami mendapati perkembangan ini disokong pemulihan segmen insurans hayat, hasil dividen menarik serta pelbagai inisiatif bagi menangani inflasi perubatan," jelas MBSB Research dalam analisisnya.


Sektor insurans ujarnya, berdepan dua cabaran utama dalam masa terdekat iaitu pertumbuhan premium perlahan dan peningkatan tuntutan insurans akibat kos peralatan perubatan dan gangguan bekalan.


Menurutnya, segmen insurans motor dan kesihatan dijangka menerima impak paling besar memandangkan kedua-duanya bergantung besar kepada komponen dan peralatan yang kebanyakan stok perlu diimport.


Meskipun kos meningkat kata MBSB Research, banyak syarikat insurans tidak terlalu bimbang terhadap pertumbuhan premium kerana petunjuk ekonomi domestik seperti pertumbuhan pinjaman masih kukuh.

 

insurans_DagangNews2026



"Segmen insurans hayat dijangka pulih dengan sokongan produk asas Insurans/Takaful Kesihatan dan Perubatan (MHIT) yang menawarkan perlindungan secara lebih mampu milik kepada rakyat," tambahnya.


Inflasi perubatan kekal sebagai risiko kepada industri kerana had kenaikan premium ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) mengehadkan syarikat insurans untuk memindahkan kos kepada pelanggan.


Jelas MBSB Research, perkembangan program pembayaran bersama yang semakin meluas namun memberi petanda positif apabila berjaya membantu mengurangkan nisbah tuntutan kesihatan dalam industri.


Pada masa sama, kerajaan dilihat semakin aktif memperkenalkan pelbagai inisiatif di bawah agenda 'RESET' bagi mengekang inflasi perubatan termasuk sistem Diagnosis-Related Group (DRG) pada 2027.


"Kami turut menyifatkan pengenalan produk asas MHIT sebagai pemangkin baharu pertumbuhan industri kerana mampu memperluaskan akses perlindungan kesihatan kepada mereka bergaji kecil," katanya.


Bagi segmen insurans am pula tambah MBSB Research, pertumbuhan premium kasar bertulis dijangka sihat walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi dan peningkatan kos tuntutan pelanggan sedia ada.


Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan terus mengekalkan pandangan positif terhadap sektor insurans dengan faktor penilaian yang masih menarik berbanding rakan lain di negara serantau.


Ia menamakan Allianz Malaysia Berhad dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad sebagai pilihan utama sektor dengan saranan 'beli' serta harga sasaran masing-masing RM25.69 dan RM4.51. - DagangNews.com

Terkini standard