PRU16: UMNO Terengganu sudah kenal pasti calon 32 DUN, lapan Parlimen

LocalPolitics
5 Mar 2026 • 2:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Rozi (tiga dari kanan) ketika menghadiri Majlis Santuni Ramadan peringkat UMNO Bahagian Hulu Terengganu pada Rabu.

​HULU TERENGGANU - UMNO Terengganu mengesahkan sudah mengenal pasti senarai calon yang bakal diketengahkan untuk bertanding di 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

​Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Rozi Mamat berkata, walaupun senarai tersebut sudah ada dalam radar parti, namun ia masih belum dimuktamadkan sepenuhnya.

​Menurut beliau, setiap Ketua UMNO Bahagian sebelum ini telah diminta untuk mengemukakan sekurang-kurangnya tiga nama calon berpotensi bagi setiap kawasan DUN dan Parlimen di bawah seliaan masing-masing.

​"Calon yang disenaraikan untuk bertanding ini nantinya akan diselaraskan oleh UMNO Pusat," katanya.

​Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Santuni Ramadan peringkat UMNO Bahagian Hulu Terengganu di Kampung Binjai Kertas, di sini pada Rabu.

​Hadir sama, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Tengku Mahari Tengku Chik dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jailani Johari.

​Rozi yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu turut mengulas mengenai persiapan jentera parti susulan spekulasi kencang bahawa PRU16 kemungkinan diadakan lebih awal pada tahun ini walaupun tempoh penggal sedia ada masih berbaki lebih setahun.

​Beberapa pemerhati dan penganalisis politik sebelum ini meramalkan PRU16 berpotensi berlangsung pada suku keempat tahun ini iaitu sekitar Oktober hingga Disember, atau mungkin seawal pertengahan Jun depan.

​Mengulas mengenai pembahagian kerusi bersama rakan gabungan dalam Pakatan Harapan (PH), Rozi menjelaskan perkara tersebut masih belum dibincangkan secara rasmi, namun menegaskan jentera UMNO Terengganu sudah pun bersiap sedia sepenuhnya.

​Ditanya mengenai kemungkinan pemimpin Bersatu yang dipecat untuk kembali menyertai UMNO, beliau menyatakan pihaknya sentiasa bersikap terbuka, namun setakat ini belum menerima permohonan rasmi daripada mana-mana bekas pemimpin parti tersebut.

​"UMNO negeri tidak mempunyai masalah dan bersedia membuka pintu kepada sesiapa pun untuk kembali berjuang bersama parti.

​"Bagaimanapun, sebarang syarat untuk bekas pemimpin ini kembali (ke pangkuan UMNO) akan ditentukan oleh peringkat pusat," katanya.