PRU16 wajar disegerakan - Pas

LocalPolitics
3 Sep 2026 • 2:27 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRU16 wajar disegerakan - Pas
Tuan Ibrahim - Foto: SINAR HARIAN/ ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU – Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) wajar dipercepatkan bagi membolehkan negara keluar daripada kemelut politik dan ketidaktentuan semasa, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, keadaan politik yang tidak menentu ketika ini perlu diselesaikan dengan mengembalikan hak kepada rakyat untuk membuat pilihan melalui proses demokrasi.

“Saya melihat terdapat keperluan untuk mengadakan pilihan raya lebih awal. Saya setuju bahawa dalam situasi yang tidak menentu seperti sekarang, kita perlu keluar daripada kemelut yang sedang dihadapi.

“Saya setuju PRU perlu disegerakan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas Kali Ke-67 di sini pada Khamis.

Sebelum ini, media melaporkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) turut mengambil pendirian bahawa PRU16 wajar diadakan lebih awal sebelum menghampiri penghujung penggal Parlimen yang dijadualkan berakhir pada hujung tahun depan.

Menurut Tuan Ibrahim, pelaksanaan beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) secara berasingan selepas ini termasuk di Melaka dan Sarawak menuntut penyelarasan supaya pilihan raya dapat diadakan secara serentak.

Katanya, langkah itu bukan sahaja dapat mengurangkan kos yang ditanggung Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), malah mengelakkan tempoh berpolitik yang berpanjangan.

“Kita mempunyai beberapa PRN yang akan berlangsung secara berturut-turut. Selepas ini Melaka, kemudian Sarawak, dan kosnya agak besar untuk ditanggung oleh SPR.

“Sudah tiba masanya satu penyelarasan dilakukan supaya pilihan raya dapat diadakan secara serentak,” katanya.

Beliau berkata, situasi politik yang berlarutan turut menyebabkan rakyat terpaksa memberi perhatian berterusan kepada perkembangan politik sehingga menjejaskan fokus terhadap perkara lain yang lebih penting.

“Setahun lebih kita perlu berdepan situasi seperti ini. Saya rasa rakyat sudah letih dengan keadaan tersebut.

“Jika boleh disegerakan, lebih awal adalah lebih baik,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved