‘Agung’ ketuai 30 kuda berarak bawa Jalur Gemilang

25 Aug 2026 • 11:54 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: ‘Agung’ ketuai 30 kuda berarak bawa Jalur Gemilang
‘Agung’ berada di barisan paling hadapan ketika perarakan. - Foto: SINAR HARIAN /ADILA SHARINNI WAHID
Image from: ‘Agung’ ketuai 30 kuda berarak bawa Jalur Gemilang
Kereta kuda dan motosikal dihias dengan Jalur Gemilang. - Foto: SINAR HARIAN /ADILA SHARINNI WAHID
Image from: ‘Agung’ ketuai 30 kuda berarak bawa Jalur Gemilang
Penduduk yang bersama-sama menyertai selawat pada Selasa. - Foto: SINAR HARIAN /ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU - Seekor bekas kuda lumba bernama ‘Agung’ mengetuai 30 ekor kuda membawa Jalur Gemilang dalam perarakan bersama lebih 400 penduduk sempena sambutan Maulidur Rasul dan Bulan Kebangsaan di Sri Pulau, Kubang Kerian di sini pada Selasa.

Perarakan sejauh kira-kira satu kilometer itu bermula dari Masjid Al-Taqwa, Mukim Pulau pada jam 8.30 pagi sebelum berakhir di rumah seorang penduduk.

Selain barisan kuda yang membawa Jalur Gemilang, program turut dimeriahkan dengan kereta kuda dan motosikal yang dihiasi bendera selain alunan selawat sepanjang perarakan.

Pemilik Agung, Nordin Mat, 61, berkata, dia membawa dua daripada lapan ekor kuda miliknya untuk menyertai perarakan berkenaan.

“Sudah kira-kira 10 tahun saya terlibat dalam aktiviti berkuda dan memang biasa membawa kuda menyertai perarakan seperti ini.

“Selain memeriahkan suasana kampung, program sebegini menjadi ruang untuk kami berkumpul serta mengeratkan silaturahim,” katanya ketika ditemui pada Selasa.

**media[3625528]**

Menurut Nordin, persediaan membawa kuda menyertai perarakan dibuat kira-kira dua minggu lebih awal, terutama bagi memastikan tahap kesihatan dan keadaan fizikal haiwan itu berada dalam keadaan baik.

Katanya, ‘Agung’ merupakan kuda kacukan Kelantan yang pernah menyertai acara endurance dan racing pada peringkat Kelantan.

“Agung saya beli ketika berusia setahun dan mula menyertai pertandingan pada usia empat tahun. Dia pernah menyertai banyak kejohanan sebelum bersara daripada perlumbaan.

“Pada awalnya Agung agak agresif, suka menggigit dan menendang, tetapi selepas lama dijaga dan dilatih, dia menjadi lebih jinak,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Sri Pulau, Md Zohari Abdullah berkata, perarakan kuda merupakan antara pengisian yang diadakan setiap tahun bagi memeriahkan program bersama penduduk.

Katanya, penglibatan kuda kali ini memberi kelainan kepada sambutan apabila elemen Maulidur Rasul dan Bulan Kebangsaan digabungkan dalam satu program.

**media[3625529]**

“Kami mahu mengeratkan hubungan sesama penduduk.

“Kuda juga mempunyai nilai simbolik kerana ia antara haiwan tunggangan dan pengangkutan penting pada zaman Rasulullah SAW,” katanya.

Program turut mendapat sambutan golongan muda termasuk pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian, Mohd Haikal Danial Zamzunaini, 15, yang sudah dua tahun menceburi aktiviti berkuda.

Perarakan berkenaan turut menampilkan pelbagai jenis kuda termasuk kacukan Kelantan, pony, Arab, polo dan bekas kuda lumba.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved