KUALA LUMPUR, 19 Ogos 2026 – Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB), dengan kerjasama Prudence Foundation, meraikan ulang tahun ke-10 pelaksanaan Kurikulum Cha-Ching di Malaysia menerusi Karnival Cha-Ching 2026 di SJKC Wangsa Maju, sekali gus menandakan sedekad usaha dalam memperkasa generasi muda Malaysia dengan pengetahuan kewangan dan kemahiran hidup praktikal.
Semenjak diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2016, Kurikulum Cha-Ching telah memberi manfaat kepada lebih 290,000 pelajar, melatih lebih daripada 4,600 guru dan dilaksanakan di lebih 2,000 sekolah di 11 negeri di seluruh negara. Program ini disokong menerusi kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia, Junior Achievement Malaysia, Pertubuhan Dana Kita dan Prudence Foundation.
Mengulas pencapaian tersebut, Chee Foong Wai, Ketua Pegawai Pelanggan, Pemasaran & Produk, Prudential Assurance Malaysia Berhad, berkata: “Literasi kewangan merupakan salah satu kemahiran hidup yang paling bernilai yang boleh kita berikan kepada anak-anak. Melalui Cha-Ching, kami membantu anak-anak membentuk tabiat kewangan yang positif sejak usia muda, seterusnya memperkasa mereka untuk membuat keputusan yang termaklum, bertindak secara bertanggungjawab dan menghadapi masa depan dengan lebih yakin.”
Tambah beliau, fokus program terhadap empat konsep teras iaitu menjana pendapatan, menyimpan, berbelanja dan menderma membantu kanak-kanak membentuk kemahiran praktikal dan tabiat positif yang dapat memberi manfaat kepada mereka sepanjang hayat.

Ketika Cha-Ching melangkah ke dekad seterusnya di Malaysia, Prudential dan Prudence Foundation berhasrat untuk memperluas jangkauan program ini, khususnya kepada komuniti yang kurang mendapat akses dan komuniti Orang Asli, di samping memperkukuh keupayaan guru agar pendidikan kewangan dapat terus disampaikan secara kendiri dan mampan di sekolah-sekolah.
Program ini turut meluaskan pembelajaran kewangan melangkaui bilik darjah melalui Cha-Ching Money Adventure, sebuah sumber interaktif dalam talian yang direka untuk membantu ibu bapa dan anak-anak meneroka konsep kewangan bersama-sama. Dengan menjadikan literasi kewangan sebagai pengalaman yang dikongsi bersama di rumah, platform ini bertujuan menggalakkan tabiat kewangan yang positif, di samping memupuk perbualan bermakna antara ibu bapa dan anak-anak mengenai keputusan yang boleh membentuk masa depan mereka.
Philip Shin, Pengarah Kanan, Prudence Foundation, berkata: “Ketika Cha-Ching melangkah ke dekad seterusnya di Malaysia, kami mahu membawa pendidikan kewangan ke tahap yang lebih luas dengan mendekati lebih ramai kanak-kanak dan komuniti, memperkasa guru untuk terus menyampaikan pendidikan ini, serta membawa pembelajaran kewangan ke rumah. Hasrat kami adalah untuk menjadikan literasi kewangan sebagai satu kemahiran hidup yang menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian kanak-kanak dan terus memberi manfaat kepada mereka pada masa hadapan.”






