
KAJANG: Ketegasan jurulatih menjadi pembakar semangat buat atlet angkat berat Johor, Qisvena Abdullah untuk melakar kejayaan terbesar dalam kariernya dengan meraih emas acara 77 kilogram (kg) pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, hari ini.
Lebih menarik, Qisvena terpaksa menjalani latihan seorang diri ketika melanjutkan pengajian di UiTM Segamat tanpa jurulatih dan rakan sepasukan, namun tetap menggagahkan diri demi merealisasikan impian selepas dua edisi SUKMA sebelum ini hanya meraih gangsa dan perak.
Qisvena meraih emas selepas melakukan angkatan 180kg iaitu 75 snatch dan 105kg bagi clean & jerk, wakil Pahang Wardina Husna Abdullah pula meraih perak dengan Angkatan 175kg (74kg dan 101kg) dan gangsa menjadi milik Balqis Syakirah Badrol Hisham dari Perak dengan Angkatan 173kg (85kg dan 90kg)
Atlet berusia 21 tahun itu berkata, kejayaan tersebut amat bermakna selepas berbulan-bulan berjuang selain mahu menghadiahkan pingat emas kepada ibu bapanya, jurulatih serta semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan.

“Saya rasa memang kena dapat emas sebab saya dah berjuang banyak sangat, dah berbulan-bulan. Mak dan ayah saya datang dari Johor Bahru pukul 3 pagi semalam, jadi saya rasa saya kena dapatkan emas. Jurulatih-jurulatih saya, penyelaras MSNJ dan semua orang yang sokong saya, saya patut hadiahkan ini untuk mereka,” katanya.
Qisvena turut mengakui kejayaan itu sukar digambarkan kerana emas berkenaan merupakan sasaran yang dikejarnya sejak meraih gangsa pada SUKMA 2022 dan perak pada edisi berikutnya di Sarawak.
Lebih membanggakan, Syasya melakukan angkatan terbaik dalam kariernya apabila mengumpul keseluruhan 180 kilogram, termasuk berjaya melakukan clean & jerk 105kg yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini.
“Sebenarnya saya tak pernah angkat 105kg. Saya pernah buat clean tetapi tak pernah jerk. Disebabkan ramai orang sokong saya, saya boleh buat jerk hari ini,” katanya.
Kejayaan itu dicapai walaupun dia masih bergelut dengan kecederaan lutut, namun nasihat jurulatihnya, Nur Shahidah Abdul Halim supaya terus berjuang menjadi sumber kekuatan untuknya.
Qisvena berkata, dia mula menceburi sukan angkat berat ketika berusia 14 tahun dan pada awalnya mahu meninggalkan sukan berkenaan kerana takut dengan ketegasan jurulatihnya.
“Secara jujurnya, saya takut dengan jurulatih saya. Masa mula-mula masuk saya memang nak keluar tetapi takut sebab jurulatih saya garang. Jadi saya tahan diri sampai menang gangsa pada SUKMA 2022 dan saya rasa kena teruskan kerana saya boleh dalam sukan ini.
“Kadang-kadang rasa nak mengalah tetapi sebab jurulatih saya garang, saya kenalah latihan. Ada juga yang marah saya ketika latihan, jadi saya terpaksa sorok dahulu sebelum sambung latihan,” katanya yang menyasarkan untuk mewakili Malaysia pada Sukan SEA 2027.-UTUSAN
The post Jurulatih garang bakar semangat Qisvena raih emas appeared first on Utusan Malaysia.





