PSAS: Hatrik Faizal bawa Malaysia ke final

26 Nov 2026 • 12:00 AM MYT
Stadium Astro
Stadium Astro

The latest sports results, news, match highlights, schedules and more

PSAS: Hatrik Faizal bawa Malaysia ke final

Skuad hoki negara layak ke final Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) apabila bangkit mengikat Pakistan 5-5 dalam aksi terakhir pusingan round-robin di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh sebentar tadi.

Faizal Saari muncul wira negara apabila meledakkan tiga gol, termasuk gol terakhir yang melayakkan Malaysia ke final pada penghujung perlawanan.

Azrai Aizad Abu Kamal memberikan langkah kanan buat skuad negara dalam perlawanan kali ini apabila meledakkan gol padang seawal minit ketiga.

Bagaimanapun, Ahmad Nadeem kemudian memberikan Malaysia mimpi buruk dengan dua jaringan pantasnya, masing-masing pada minit ke-13 dan 15 untuk meletakkan Pakistan di depan buat kali pertama.

Memasuki suku kedua, ketua pasukan negara, Marhan Jalil, kembali mengikat kedudukan buat skuad kebangsaan dengan penyudah gemilangnya menerusi gerakan pukulan sudut penalti.

Malaysia ketinggalan dua gol selepas babak kedua bersambung apabila Muhammad Ammad dan Hannan Shahid berhasil merobek pertahanan Hafizuddin Othman, masing-masing dengan jaringan padang pada minit ke-32 dan 48.

Ketika skuad negara berada dalam tekanan tinggi, termasuk beberapa gerakan pukulan sudut penalti dan pukulan penalti yang tidak berhasil, Faizal akhirnya berhasil melakukan acahan sebelum melepaskan pukulan untuk melengkapkan gerakan pukulan sudut penalti pada minit ke-50.

Tidak sampai seminit selepas itu, Faizal memastikan kedudukan menjadi 4-4, kali ini menerusi jaringan padang.

Skuad negara kembali berada dalam keadaan tertekan apabila Sufyan Khan kembali meletakkan Pakistan di depan berbaki tiga minit permainan.

Namun, Malaysia kemudian mendapat pukulan penalti dan Faizal memanfaatkan sepenuhnya kesempatan itu untuk melengkapkan hatrik dan memastikan kemaraan skuad negara.

Sebagai rekod, keputusan seri itu sudah cukup untuk membawa Speedy Tigers ke final berdasarkan kelebihan beza jaringan.

Malaysia seterusnya akan berdepan Australia bagi aksi penentuan gelaran pada Sabtu ini.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved