PSM Beri Jaminan Insiden Kebocoran Bumbung Axiata Arena Tidak Akan Berulang

8 Jan 2025 • 9:44 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) beri jaminan bahawa insiden kebocoran bumbung di Axiata Arena yang mengganggu perjalanan Badminton Terbuka Malaysia semalam tidak akan berulang.

Kebocoran bumbung Axiata Arena tidak akan berulang

image is not available

Foto: Berita Harian

Menerusi satu kenyataan, PSM menyatakan pihaknya dan kontraktor telah mengambil langkah proaktif dengan menyediakan lebih 10 orang kakitangan yang akan bersedia di bumbung sepanjang kejohanan berlangsung.

Ketua Pegawai Eksekutif PSM, liyas Jamil menjelaskan kebocoran tersebut berpunca daripada air hujan yang menitis dan terkena pada gelanggang.

Beliau menjelaskan bahawa PSM dengan kerjasama kontraktor telah melaksanakan kerja-kerja segera untuk mengalirkan air ke tempat lain sejak pukul 4.30 petang, membolehkan gelanggang digunakan semula pada jam 8 malam.

image is not available

Foto: Utusan Malaysia

Insiden ini berlaku ketika proses penggantian bumbung lama yang telah wujud sejak 1998 kepada yang baru, yang telah bermula pada pertengahan 2024.

PSM telah mengadakan mesyuarat dengan pihak JKR Wilayah Persekutuan dan kontraktor pada 30 Disember 2024 yang lalu untuk membincangkan isu ini.

Pihak PSM telah mengenal pasti kawasan-kawasan yang bermasalah dan sedang menyegerakan kerja-kerja pembaikan yang diperlukan.

PSM memohon maaf kepada semua pihak, terutamanya penganjur dan peminat sukan badminton atas gangguan yang berlaku.

Sejak kerja-kerja penggantian bumbung bermula pada pertengahan 2024 sehingga sebelum insiden ini, tiada sebarang kebocoran pernah dilaporkan di kawasan arena.

Proses penukaran bumbung yang dilaksanakan oleh kontraktor JKR mengambil masa setahun dan direka supaya Axiata Arena masih boleh digunakan untuk penganjuran acara.