SHAH ALAM, 21 JAN: Pemilikan aset treler pemuat rendah oleh Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) meningkatkan kecekapan operasi penguatkuasaan di negeri ini.
Pengarah PTGS Dato’ Dr Yusri Zakariah berkata jentera baharu itu juga memudahkan urusan logisitik untuk membawa lori atau jentolak yang dirampas melibatkan kes kecurian bahan batuan ke stor penyimpanan.
“Jentera ini akan meningkatkan kecekapan anggota untuk jalankan operasi dengan lebih cepat dan kerap. Sebelum ini kita pinjam daripada agensi lain, majlis perbandaran atau sewa dengan operator luar.
“Lori atau jentolak yang dirampas dalam operasi penguatkuasaan perlu dibawa ke stor rampasan PTGS di Seksyen 7, Shah Alam. Jadi dengan adanya jentera baharu ini, urusan logistik lebih lancar,” katanya.
Ditemui selepas majlis perasmian jentera itu, beliau pemilikan aset itu juga akan menaikkan semangat penguat kuasa PTGS untuk membanteras salah laku berkaitan tanah di negeri ini.
“Sebelum ini sukar untuk dapatkan jentera ini, jadi tidak boleh buat operasi secara kerap. Dengan adanya kemudahan ini akan beri keyakinan serta semangat untuk laksanakan operasi penguatkuasaan dengan lebih berintegriti,” katanya.



The post PTGS: Pemilikan aset treler tingkat kecekapan operasi penguatkuasaan, logistik appeared first on Selangorkini.
