SHAH ALAM, 21 JAN: Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) tidak berkompromi dengan salah laku atau pelanggaran integriti melibatkan warga jabatan itu.
Pengarah Tanah dan Galian Selangor Dato’ Dr Yusri Zakariah berkata pihaknya komited meningkatkan kesedaran anggota pentadbiran tanah seluruh negeri, khususnya berkaitan integriti dan rasuah.
“Kalau ada kes (salah laku) kita akan tarik keluar mana-mana anggota atau pegawai daripada urusan pentadbiran tanah. Kita akan keluarkan dulu dan dalam masa sama buat siasatan.

“Sekiranya betul ada salah laku kita akan kenakan tindakan tatatertib di jabatan masing-masing.
“Kemudian kita akan buat pembetulan kalau ada berlaku perubahan kepada data (pemilik tanah dan sebagainya) kita akan betulkan semula,” katanya ditemui selepas menyempurnakan perasmian treler pemuat rendah (low loader trailer) milik PTGS di sini, hari ini.
Mengulas mengenai siasatan polis berhubung kegiatan pindah milik tanah secara tidak sah di Selangor, jelasnya tujuh yang ditahan adalah dari Pejabat Tanah dan Daerah Klang.
“Satu yang saya nak betulkan sebenarnya, kes itu berlaku di Pejabat Tanah dan Daerah Klang bukan PTGS.
“‘Mereka ini sudah dipindahkan ke jabatan lain (yang tidak melibatkan urusan tanah) sementara menunggu siasatan penuh dari pihak Bukit Aman,” katanya sambil menjelaskan beberapa kakitangan PTGS turut dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan.
Beliau menjelaskan, siasatan dalaman sudah lama dibuat pihaknya yang mengesan pihak tidak bertanggungjawab mengambil peluang ketika penukaran sistem lama kepada sistem e-Tanah.
“Siasatan ini sebenarnya kita sudah buat lama, sebab kita dalam proses penukaran dari sistem lama ke sistem e-Tanah. Kemudian kita buat siasatan dalaman, panggil jabatan terlibat untuk buat analisis forensik,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan sistem e-Tanah adalah selamat dan menasihatkan pemilik tanah di seluruh Selangor supaya tidak khuatir dan membuat semakan pemilikan tanah mereka setiap tahun.
“Saya minta kepada orang ramai supaya jangan khuatir kerana keselamatan sistem memang tinggi, cuma sentiasa semak hak milik dan cukai tanah untuk pastikan cukai tanah dibayar dan nama dalam hak milik geran adalan nama (pemilik). Bukan nama orang lain.
“Jadi saya nasihatkan orang ramai supaya setahun sekali buat semakan dengan membuat carian untuk melihat status (pemilikan) tanah,” katanya.
Pada 10 Januari lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dilaporkan berkata 17 individu termasuk tujuh penjawat awam di Selangor ditahan bagi membantu siasatan berhubung kegiatan pindah milik tanah secara tidak sah.
Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf memaklumkan siasatan awal mendapati mereka yang berusia 33 hingga 57 tahun itu dipercayai terlibat mengeksploitasi sistem dengan memadam serta menghilangkan rekod berkaitan pindah milik hartanah.


The post PTGS: Tidak kompromi salah laku, pelanggaran integriti kakitangan, pegawai appeared first on Selangorkini.

