PTP lancar 52 lori elektrik, pacu pelabuhan hijau

LocalEnvironment
8 Oct 2026 • 1:25 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: PTP lancar 52 lori elektrik, pacu pelabuhan hijau

ISKANDAR PUTERI – Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) melancarkan 52 lori terminal berkuasa elektrik (e-prime mover) bagi mempercepatkan usaha mengurangkan jejak karbon selain memperkukuh kedudukannya sebagai hab pelabuhan hijau.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, penggunaan kenderaan elektrik itu penting dalam memastikan sektor pelabuhan turut memainkan peranan mencapai sasaran sifar bersih pelepasan karbon menjelang 2050 seperti ditetapkan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO).

Menurut beliau, agenda penyahkarbonan bukan sahaja melibatkan kapal, malah operasi di pelabuhan termasuk penggunaan lori terminal, kren dan mesin yang sebelum ini bergantung kepada bahan api diesel.

“PTP kini beralih daripada prime mover berkuasa diesel kepada elektrik dan langkah ini akan mengurangkan pelepasan karbon di peringkat operasi pelabuhan.

“Ini penting bukan sahaja bagi memastikan pematuhan ESG, tetapi apabila pelabuhan mencapai tahap ESG tertentu, ia akan meningkatkan daya saing serta kedudukan pelabuhan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Armada Lori Terminal Berkuasa Elektrik di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah di sini hari ini.

Anthony berkata, kerajaan turut melihat peralihan kepada tenaga alternatif sebagai peluang baharu untuk menjadikan pelabuhan negara sebagai hab pengisian bahan api hijau (green bunkering hub) bagi memenuhi keperluan industri perkapalan dunia yang semakin beralih kepada bahan api seperti metanol, LNG dan ammonia.

Katanya, Kementerian Pengangkutan (MOT) kini bekerjasama dengan kerajaan Australia bagi membangunkan pelan hala tuju kawal selia green bunkering, termasuk penyediaan peraturan, prosedur operasi standard (SOP) dan protokol keselamatan baharu.

“Ini sesuatu yang baharu dan kita perlu mempunyai protokol baharu mengenai bagaimana proses pengisian bahan api hijau dilakukan, sama seperti e-prime mover yang memerlukan stesen pengecasan serta SOP keselamatan untuk pemandu dan pengendali,” katanya.

Dalam pada itu, Anthony berkata, pelaburan bagi penggunaan e-prime mover tidak ditanggung kerajaan sebaliknya dibiayai pengendali pelabuhan seperti PTP, yang disifatkan antara peneraju dalam usaha penyahkarbonan operasi pelabuhan.

Beliau berkata, pengendali pelabuhan lain juga dijangka mengambil langkah sama bagi memastikan pematuhan ESG dan mengekalkan daya saing masing-masing dalam industri maritim antarabangsa. – KOSMO! ONLINE

The post PTP lancar 52 lori elektrik, pacu pelabuhan hijau appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved