
KUALA LUMPUR - Pihak berkuasa Malaysia menahan tiga lagi kontena dipercayai dalam perjalanan ke Israel di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), menurut sumber.
Ketiga-tiga kontena berkenaan masih ditahan hampir sebulan selepas disita, sementara siasatan dijalankan bagi mengenal pasti kandungannya.
Menurut sumber itu yang enggan dikenali, kontena tersebut ditahan pada 19 Ogos ketika dalam perjalanan ke Pelabuhan Ashdod, selatan Tel Aviv.
Berdasarkan dokumen penghantaran yang diperoleh Bloomberg News, ketiga-tiga kontena mengandungi komponen basikal elektrik dihantar oleh pengeluar dari China, Chongqing Mobimax Technology Co.
Data penjejakan daripada A.P. Moller-Maersk, syarikat perkapalan yang mengendalikan penghantaran berkenaan, menunjukkan kontena terbabit masih berada di PTP.
Terdahulu, sebuah kontena berasal dari Filipina dan dipercayai mengandungi senjata disita Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) pada 7 Ogos, selepas ia didapati ditujukan kepada Elbit Systems Ltd, sebuah syarikat teknologi pertahanan Israel.
Data penjejakan daripada Hapag-Lloyd AG turut menunjukkan kontena berkenaan masih berada di PTP.
Jurucakap AKPS berkata, perkara tersebut masih dalam siasatan dan pihaknya tidak dapat mengulas lanjut.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia, yang menjadi asas perundangan penguatkuasaan AKPS di pelabuhan enggan mengulas, manakala Pihak Berkuasa Pelabuhan Johor pula memaklumkan, perkara berkenaan sedang dalam semakan.
Kementerian Pengangkutan juga tidak memberikan sebarang maklum balas ketika dihubungi.
Turut enggan mengulas ialah wakil Elbit Systems manakala Mobimax Technology tidak memberikan sebarang respons. Hapag-Lloyd dan Maersk juga enggan memberikan sebarang komen.
Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik atau perdagangan dengan Israel dan secara amnya melarang aktiviti import serta eksport dengan negara itu di bawah undang-undang kastam, meskipun barangan transit dikecualikan daripada larangan berkenaan.
Ketika mengulas mengenai penyitaan kontena pada 7 Ogos lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia tidak akan membenarkan negara ini dijadikan laluan bagi urusan perdagangan yang boleh menyokong atau menyumbang kepada “kekejaman rejim Israel”.
Pendirian Malaysia yang sekian lama menyokong perjuangan Palestin semakin tegas sejak tercetusnya perang di Gaza pada Oktober 2023, dan ia turut mencetuskan pelbagai demonstrasi dan kempen memboikot produk Israel.
Pada Disember tahun sama, kerajaan pimpinan Anwar turut melarang syarikat perkapalan Israel, ZIM Integrated Shipping Services, daripada menggunakan pelabuhan di Malaysia.
Penahanan terbaharu itu berlaku ketika Malaysia terus memperketat pemantauan terhadap aktiviti yang mempunyai kaitan dengan Israel.
Julai lalu, pihak berkuasa menutup Network School di Johor selepas siasatan dijalankan susulan dakwaan bahawa pelajar Israel mengikuti pengajian di komuniti teknologi berkenaan, yang didakwa melanggar peraturan imigresen Malaysia.
Malaysia turut melarang pemegang pasport Israel daripada memasuki negara ini tanpa kebenaran.
PTP yang terletak berhampiran Selat Melaka merupakan pelabuhan kedua terbesar di Malaysia dan hab pemindahan kargo utama negara.
Aktiviti pemindahan kargo atau transshipment menyumbang kira-kira 90 peratus daripada keseluruhan jumlah kargo yang dikendalikan di pelabuhan berkenaan. - Getaran, 14 September 2026





