
PTPTN Dan Hotel Royale Chulan Menyantuni Insan Memerlukan Melalui Program Raikan Syawal
Petaling Jaya, 10 Mac 2026 – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus menyemarakkan semangat kebersamaan dan kasih sayang dengan menyantuni golongan kurang bernasib baik menerusi Program Raikan Syawal Bersama Anak-Anak Yatim dan Asnaf Tahun 2026 yang berlangsung di Hotel Royale Chulan, Damansara hari ini.
Majlis penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN. Turut hadir YBhg. Dato’ Rosthman Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Hotels & Resort, YBrs. Puan Mastura Mohd Khalid, Ketua Pegawai Operasi PTPTN serta Pengurusan PTPTN dan Royale Chulan Hotels and Resorts Malaysia.
Program yang dianjurkan sejak tahun 2016 ini merupakan antara inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN dan menjadi wadah untuk berkongsi rezeki serta mengukir senyuman anak-anak yatim dan asnaf agar mereka turut merasai kegembiraan dan kemeriahan dalam membuat persiapan menyambut Syawal yang penuh keberkatan.
Buat julung kalinya pada tahun ini, PTPTN menjalinkan kerjasama strategik bersama Royale Chulan Hotels and Resorts Malaysia dalam menjayakan program ini sekali gus memperkukuh komitmen bersama untuk melaksanakan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.
Program pada tahun ini diserikan dengan dua (2) aktiviti utama iaitu membeli-belah baju raya dan berbuka puasa.
Aktiviti membeli-belah baju raya telah diadakan pada sebelah pagi melibatkan seramai 100 orang penerima sumbangan yang terdiri daripada anak-anak yatim daripada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al-Barakh dan Pertubuhan Kebajikan dan Pusat Jagaan Kasih Ehsan Sejati, bertempat di Jakel Mall, Kuala Lumpur.
Setiap penerima menerima set pakaian hari raya bernilai RM200.00 dan kuih raya bernilai RM40.00 menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan PTPTN bernilai RM24,000.00
Selain menikmati juadah berbuka puasa yang disediakan, pihak Royale Chulan Hotels and Resorts Malaysia turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM5,000.00 kepada 100 orang anak-anak yatim dan asnaf melalui pembukaan akaun Simpan SSPN Prime, dengan setiap penerima menerima sumbangan sebanyak RM50.00.
Menurut Pengerusi PTPTN, YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, PTPTN komited dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat demi kesejahteraan masyarakat dan pembangunan pendidikan negara.
Melalui program ini, PTPTN berusaha memupuk nilai kebersamaan, keprihatinan dan kasih sayang dalam masyarakat.

“Sumbangan ini diharapkan dapat menceriakan sambutan Hari Raya Aidilfitri para penerima, sekali gus memberi motivasi kepada mereka untuk belajar bersungguh-sungguh dan terus berusaha mencapai kejayaan.
Pada masa yang sama, inisiatif ini juga bertujuan memupuk budaya menabung sejak awal sebagai persediaan demi masa depan pendidikan yang lebih terjamin,” tambah beliau lagi.
Baca juga:
PTPTN Hargai Komitmen Kerajaan Perluaskan Biasiswa Anak eKASIH PTPTN Kepada 10,000 Pelajar Miskin Tegar
PTPTN Bantu Pelajar UMK Melalui Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin
Manakala Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Hotels & Resort, YBhg. Dato’ Rosthman Ibrahim pula berkata, bagi pihak Royale Chulan Hotels and Resorts, usaha menyantuni masyarakat merupakan sesuatu yang sentiasa menjadi sebahagian daripada komitmen kami.
"Kerjasama bersama PTPTN ini amat kami hargai kerana ia membawa semangat memberi dan berkongsi, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Inisiatif seperti ini juga sebahagian daripada usaha berterusan kami dalam agenda ESG untuk membentuk Royale Chulan Hotels and Resorts sebagai jenama hotel yang lebih inklusif dan prihatin terhadap tanggungjawab sosial. Bagi kami, Royale Chulan bukan sekadar menyediakan bilik atau ruang acara, tetapi mencipta ruang kebersamaan dan kegembiraan," ujarnya lagi.
PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus komited dalam meningkatkan pelaksanaan program-program CSR demi pembangunan anak bangsa.
Semoga melalui program ini akan menjadi platform terbaik bagi memupuk nilai kebersamaan, keprihatinan dan kasih sayang dalam masyarakat, selari dengan tagline PTPTN Prihatin: Kami Kongsi, Kami Bantu, serta moto “Peluang Kejayaan Anda.”





