SHAH ALAM – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperkukuh usaha memupuk budaya menabung dan meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan generasi muda menerusi Pertandingan Teater Pendek Simpan SSPN.
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, pertandingan tersebut merupakan antara aktiviti utama dalam Karnival Ceria Simpan SSPN (KCS) Peringkat Negeri yang diadakan serentak di seluruh negara pada 27 Jun 2026.
“Pertandingan membabitkan 45 sekolah dari 13 negeri itu bukan sahaja bertujuan memupuk budaya menabung dan meningkatkan literasi kewangan, malah menjadi wadah untuk mencungkil bakat serta mengembangkan kreativiti murid melalui pendekatan seni dan persembahan.
"Ia juga menjadi antara inisiatif PTPTN dalam memberikan pendedahan awal kepada murid mengenai kepentingan pengurusan kewangan serta membudayakan amalan menabung sejak usia muda," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Selain menyampaikan mesej berkaitan kepentingan menabung melalui Simpan SSPN, beliau menejelaskan, pendekatan itu selari dengan usaha PTPTN menyokong pembangunan bakat, pembentukan jati diri dan kemenjadian murid, selain memupuk penghargaan terhadap nilai kesenian dan kebudayaan.
Menurutnya, penglibatan murid Tahap 2 dalam pertandingan berkenaan memberi nilai tambah melalui Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJK), tertakluk kepada ketetapan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Pertandingan tersebut terbuka kepada sekolah yang melaksanakan Modul Kelab Simpanan Pendidikan (KSP), khususnya susulan pelaksanaan modul baharu itu bermula sesi persekolahan 2026.
"Acara itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM15,000, termasuk lapan anugerah khas sebagai penghargaan kepada sekolah, guru dan murid yang menunjukkan kreativiti, kualiti serta prestasi cemerlang sepanjang pertandingan.
“Semoga pengiktirafan ini menjadi suntikan semangat kepada semua yang terlibat untuk terus mengembangkan bakat dan berkarya dengan lebih kreatif pada masa hadapan,” ujarnya.
**media[3617313]**
Sementara itu, Ahmad Dasuki berharap penganjuran tersebut mampu menjadi wadah berkesan untuk mendekatkan konsep literasi kewangan kepada generasi muda menerusi pendekatan menyeronokkan, kreatif dan berimpak.
Inisiatif itu turut mencerminkan komitmen berterusan PTPTN dalam membudayakan amalan menabung serta membina kesedaran mengenai kepentingan perancangan kewangan sejak di bangku sekolah.
"PTPTN percaya penerapan pendidikan kewangan sejak di bangku sekolah bukan sahaja membantu generasi muda memahami kepentingan menabung, malah membina asas pengurusan kewangan lebih baik sebagai persediaan ke arah masa depan pendidikan lebih terancang," katanya.




