
SHAH ALAM, 13 NOV: Kerajaan Negeri akan memperluas pengajaran mata pelajaran Matematik menerusi Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) kepada pelajar tingkatan tiga mulai tahun depan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu bertujuan memperkukuh pelaksanaan PTRS, termasuk membangunkan modul latihan soalan interaktif dan sistem pelaporan pencapaian pelajar.
Menurutnya, penambahbaikan berkenaan membolehkan ibu bapa dan guru memantau prestasi akademik pelajar dengan lebih dekat.
“Bagi mengukuhkan lagi PTRS, subjek Matematik akan diperluaskan kepada pelajar Tingkatan 3 dan modul latihan soalan interaktif serta sistem pelaporan pencapaian pelajar akan dibangunkan agar prestasi mereka dapat dipantau secara lebih dekat oleh ibu bapa dan guru.
“Pada tahun 2027, sebanyak RM13 juta diperuntukkan untuk PTRS dan Didik Kasih, dengan RM6 juta daripada Kerajaan Negeri dan baki RM7 juta ditampung oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI agar tahap akademik anak-anak Selangor dapat terus dipertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.
Mengulas pencapaian semasa, Amirudin berkata PTRS memberi manfaat kepada 160,000 pelajar tingkatan empat dan lima di 272 sekolah menengah seluruh Selangor sepanjang tahun ini.
Sementara itu, Program Didik Kasih membantu 20,000 murid yang memerlukan pemulihan pembelajaran di 663 sekolah rendah bagi mengelakkan mereka tercicir dalam pelajaran.
Menurutnya, pelaksanaan program berkenaan selaras dengan prinsip no one will be left behind (tiada siapa akan dipinggirkan) yang menjadi antara keutamaan Kerajaan Negeri dalam memastikan akses pendidikan kepada semua murid.
“Sejak dimulakan pada tahun 2009, seramai 647,520 anak Selangor telah menikmati Program Tuisyen Rakyat Selangor secara percuma,” katanya.
Untuk rekod, PTRS menawarkan kelas tambahan percuma bagi enam mata pelajaran teras, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Matematik Tambahan.





