PETALING JAYA: Inisiatif Pemerkasaan Ilmu dan Teknologi untuk Aspirasi Rakyat (Pintar) menyasarkan 20,000 pelajar menerusi perluasan program pendidikan sains, teknologi dan inovasi di tiga lagi negeri bermula tahun tahun depan.
Sasaran itu susulan kejayaan pelaksanaan fasa rintis selama lapan bulan yang memberi manfaat kepada 12,240 pelajar di 178 sekolah di Terengganu, Pahang dan Putrajaya dari Mac hingga Oktober lalu.
Pengerusi PINTAR, Syed Azaudin Syed Ahmad berkata, perluasan program itu penting bagi memastikan lebih ramai pelajar mendapat pendedahan kepada teknologi baharu, khususnya mereka yang mempunyai akses terhad kepada pendidikan berasaskan teknologi.
“Daya saing Malaysia pada masa hadapan bukan sahaja bergantung kepada pelaburan dalam infrastruktur, industri dan teknologi, tetapi keupayaan melahirkan generasi yang berkemahiran dan inovatif.
“PINTAR bertujuan membuka peluang pendidikan teknologi kepada semua lapisan masyarakat. Kami mahu setiap anak Malaysia, tanpa mengira latar belakang sosioekonomi, berpeluang meneroka, belajar dan membangunkan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam ekonomi masa hadapan,” katanya.
Menurutnya, pencapaian fasa rintis membuktikan potensi PINTAR untuk diperluas sebagai program kebangsaan menerusi kerjasama institusi pendidikan, agensi kerajaan, organisasi korporat dan komuniti.
Program STEM PINTAR menggunakan pendekatan pembelajaran interaktif dan praktikal bagi memberi peluang kepada pelajar meneroka bidang teknologi secara langsung, berbeza dengan kaedah pembelajaran konvensional yang lebih tertumpu kepada teori di bilik darjah.
Antara bidang diperkenalkan ialah robotik, teknologi dron, aeroangkasa, mobiliti, reka bentuk dan kecerdasan buatan (AI) yang bertujuan meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah, kreativiti serta minat terhadap sains dan kejuruteraan.
Modul program itu dibangunkan dengan kerjasama institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), manakala modul tambahan berkaitan AI dan ekonomi oren dirancang menerusi kerjasama University of Nottingham dan Sunway University.
Pengarah PINTAR, Ridhwan Rosli berkata, pendekatan program itu bertujuan melengkapi kurikulum sedia ada di sekolah dengan memberi pengalaman pembelajaran teknologi secara praktikal kepada pelajar.
Dalam pada itu, beliau berkata, PINTAR turut menyediakan bantuan pembiayaan bagi memastikan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan tidak tercicir daripada mendapat manfaat program berkenaan.
Katanya, pelajar asnaf dan kanak-kanak yang dikenal pasti layak oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerima tajaan penuh, manakala peserta lain hanya perlu membayar separuh daripada kos penyertaan dengan bakinya disubsidi PINTAR. – UTUSAN
The post Inisiatif Pintar sasar 20,000 pelajar tahun depan appeared first on Utusan Malaysia.




