
PENCAPAIAN pelajar kini bukan sekadar angka keputusan peperiksaan, tetapi juga lambang kepada keberkesanan sistem pembelajaran yang digunakan.
Terbaharu, PTTI Group Sdn Bhd terus mencuri perhatian apabila berjaya melahirkan 534 pelajar yang memperoleh keputusan semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Lebih membanggakan, kejayaan tersebut turut membawa kepada pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records (MBOR) buat kali ketiga, selepas pencapaian sama pernah direkodkan pada tahun 2022 dan 2024.
Pengiktirafan berulang itu secara tidak langsung mengukuhkan kedudukan PTTI sebagai antara peneraju dalam pendidikan digital negara yang konsisten melahirkan pelajar cemerlang.
Secara keseluruhan, PTTI merekodkan sebanyak 31,987 gred A melalui calon SPM 2025, selain lebih 158,000 pelajar telah menyertai program seminar dan bimbingan sepanjang tahun tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Siti Farhana Abu Osman, menjelaskan bahawa fokus utama mereka bukan sekadar mengejar keputusan, tetapi memastikan pelajar benar-benar memahami pembelajaran.
“Kami memberi penekanan kepada kemenjadian pelajar, bukan sekadar habiskan silibus,” katanya.
Antara yang mencuri perhatian ialah penyanyi muda, Alyssa Dezek, yang berjaya meraih 9A dalam SPM 2025 selepas mengikuti program pembelajaran PTTI sejak Tingkatan Tiga.
“Teknik belajar mereka sangat mudah faham dan cepat ingat. Alhamdulillah, saya berjaya memperoleh 9A dalam SPM,” kongsinya.

Memperluas akses pendidikan
Sementara itu, Chief Growth Officer PTTI, Race Monsopiad, memberitahu, lebih 158,000 pelajar telah mendapat manfaat melalui seminar yang dianjurkan sepanjang tahun ini.
Menurutnya, usaha tersebut akan diteruskan dengan penganjuran Seminar Percuma SPM di seluruh negara bermula Mei 2026 sebagai salah satu inisiatif memperluaskan akses pendidikan.
Pengarah PTTI, Asyraf Khalid pula menyifatkan kejayaan berkenaan sebagai bukti bahawa model pendidikan digital tempatan mampu bersaing dan memberi impak sebenar kepada pelajar.
“534 straight A bukan kebetulan, tetapi hasil sistem yang betul, guru yang sabar dan pelajar yang tidak menyerah.
"Kami bangga, tapi tidak berhenti di sini. Impian seterusnya adalah 1,000 Straight A," katanya.
Antara kisah yang turut mencuri perhatian ialah pelajar, Armaan Aqil, yang berjaya meraih 11A dalam SPM 2025 selepas pernah mengalami kesukaran dalam subjek Kimia sebelum ini.

Terdahulu, lebih 4,000 pelajar bersama ibu bapa membanjiri Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sempena Majlis Anugerah Inspirasi 2026 anjuran PTTI Group Sdn Bhd.
Majlis berprestij berkenaan dirasmikan oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi sesi pagi, manakala sesi petang disempurnakan oleh Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.
Acara turut diserikan dengan kehadiran tokoh dan selebriti tanah air seperti Datuk Wira Dr. Azizan Osman, Datuk Awie, Datuk M. Nasir, Datuk AC Mizal, MK K-Clique, Iman Troye, Alyssa Dezek, Hael Husaini, Bella Astillah dan Zaki Yamani.






