Pua Kumbu Kini Mendunia Di World Ikat Textiles Symposium Filipina

3 Dec 2024 • 10:54 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Sarawak Angkat Warisan Pua Kumbu ke Pentas Dunia di Filipina

Pua Kumbu Kini Mendunia Di World Ikat Textiles Symposium Filipina. Sarawak terus membanggakan Malaysia dengan mempamerkan warisan budaya kaya mereka di World Ikat Textiles Symposium, yang berlangsung selama empat hari di Baguio City, Filipina.

Acara ini bertempat di Baguio Convention and Cultural Centre, di mana seni tenunan ‘ikat’ dari seluruh dunia menjadi fokus utama.

image is not available
Pua Kumbu Kini Mendunia Di World Ikat Textiles Symposium Filipina. Kredit foto: Facebook Bernard Joseph Esposo Guerrero

Menurut kenyataan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif, dan Seni Persembahan Sarawak, simposium ini bertujuan mengumpulkan artisan, pereka, sarjana, dan pencinta budaya untuk mendalami seni dan dimensi budaya tenunan ‘ikat’.

Menarik Perhatian Dunia

Rombongan Sarawak, yang diketuai oleh Menteri Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, hadir dengan misi besar — bertukar pengetahuan antarabangsa mengenai teknik tenunan ‘ikat’, strategi pemuliharaan, dan diplomasi budaya. Mereka juga ingin mengukuhkan kehadiran Sarawak dalam industri kreatif global.

“Ikat ialah teknik pencelupan rintangan tradisional yang menghasilkan corak halus dan mendalam maknanya. Sebagai contoh, dalam kalangan komuniti Iban, pua kumbu bukan sekadar kain, tetapi lambang warisan spiritual dan hasil kerja tangan yang diwarisi turun-temurun,” katanya, menurut laporan media tempatan.

Sarawak yang diwakili oleh 34 kumpulan etnik dilihat sebagai pusat dinamik bagi kraf pelbagai budaya. Penglibatan di peringkat antarabangsa seperti ini membuka peluang baharu untuk akses pasaran dan pertukaran budaya.

Lebih 100 Koleksi Tenunan Dipamerkan

Acara ini menampilkan lebih 100 hasil tenunan ‘ikat’ dari lebih 20 negara termasuk Malaysia, Thailand, Indonesia, dan Jepun. Kehadiran Sarawak bukan sahaja mempromosikan tekstil warisan mereka tetapi juga memperkukuh hubungan antarabangsa serta menyokong pemeliharaan seni ini dalam bentuk tradisional dan moden.

Simposium ini memberi peluang kepada Sarawak untuk mengetengahkan tekstil yang penuh warna-warni sambil menyumbang kepada pelancongan warisan dan pembangunan ekonomi.

Usaha Berterusan Sarawak

Lawatan kerja ini sekali lagi membuktikan komitmen Sarawak untuk memastikan warisan seperti pua kumbu terus dihargai di pentas dunia.

Dengan langkah proaktif ini, Sarawak bukan sahaja mengetengahkan warisan budaya yang unik, malah membuka pintu kepada potensi baharu dalam industri kreatif dan pelancongan global. Dunia kini lebih mengenali keindahan pua kumbu dan dedikasi Sarawak dalam memastikan tradisi ini terus hidup untuk generasi akan datang.

Jika anda ingin melihat sendiri kecantikan pua kumbu dan seni tenunan ‘ikat’, jom sokong acara dan produk tempatan. Sarawak, teruslah gemilang di persada dunia!

Baca juga artikel yang pernah kami terbitkan mengenai Pua Kumbu: