
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) digesa menyiasat pihak yang dikaitkan dengan salah tadbir urus sehingga mengakibatkan Lembaga Tabung Haji (TH) mengalami kerugian.
Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, isu berkenaan tidak seharusnya dilihat hanya daripada sudut sama ada berlaku penyelewengan wang secara langsung.
Sebaliknya, beliau berkata, salah tadbir urus termasuk keputusan perniagaan dan pelaburan yang menyebabkan kerugian besar juga perlu diberi perhatian.
“Apakah salah tadbir urus yang menyebabkan Tabung Haji rugi dan hampir bankrap bukan satu bentuk penyelewengan?
“Tubuh banyak anak syarikat, berniaga tetapi akhirnya rugi besar, apakah itu tidak perlu dipersoalkan? Janganlah kita sempitkan makna ‘sakau’ kepada membawa lari wang semata-mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, TH mencatatkan kerugian kira-kira RM10 bilion susulan kegagalan mematuhi peraturan, kelemahan tadbir urus dan kesilapan pelaburan yang berlaku dalam tempoh 2014 hingga 2020.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi TH, Tan Sri Rashid Hussain yang pernah menganggotai Suruhanjaya Diraja (RCI) kepada Jemaah Menteri, 29 Julai lalu.
Kerugian itu adalah akibat pelaburan yang tidak mematuhi peraturan dan kelemahan dalam tadbir urus sejak 2014.
Mengulas lanjut, Mohd. Puad berkata, selepas laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH didedahkan kepada umum, kerajaan turut mengarahkan SPRM dan BNM menjalankan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya.
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah memaklumkan bahawa setakat ini belum ada mana-mana individu didakwa berhubung perkara tersebut.
“Sebab itu saya desak SPRM dan Bank Negara mengambil tindakan segera terhadap pihak yang terlibat. Jangan tangguh terlalu lama.
“Langkah ini amat penting bagi memastikan pengurusan institusi tersebut lebih profesional serta mengelakkan kepentingan politik mempengaruhi pentadbiran dan keputusan pelaburan,” katanya. –UTUSAN
The post Puad desak SPRM, BNM segera siasat isu Tabung Haji appeared first on Utusan Malaysia.






