Public Bank catat untung bersih RM1.75 bilion pada 1QFY25 naik 5.6%

LocalBusiness & Finance
21 May 2025 • 2:29 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Public Bank catat untung bersih RM1.75 bilion pada 1QFY25 naik 5.6%

image is not available

21/05/2025 - 14:29

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Mei - Untung bersih Public Bank Bhd pada suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (1QFY25) meningkat 5.6% kepada RM1.75 bilion berbanding RM1.65 bilion pada suku sama tahun sebelumnya.

Hasil kumpulan itu juga meningkat kepada RM7.31 bilion berbanding RM6.65 bilion pada 1QFY24.

Pendapatan bukan faedah meningkat sebanyak 18.9% kepada RM772.1 juta, disumbangkan oleh syarikat insurans am LPI Capital Bhd, serta prestasi yang lebih baik dalam pendapatan pelaburan dan pertukaran mata wang asing kumpulan.

Pegangan 44.15% Public Bank dalam LPI menyumbang sebanyak RM32.6 juta kepada keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada pemegang saham kumpulan bagi 1QFY25.

Syarikat amanah saham milik penuh kumpulan, Public Mutual, mencatatkan keuntungan kasar sebanyak RM208 juta, yang mewakili 9% daripada jumlah keuntungan kasar kumpulan.

"Menyokong prestasi ini ialah kedudukannya yang terkemuka di pasaran, dengan pegangan pasaran runcit sebanyak 33.9% dan nilai aset bersih sebanyak RM97 bilion merentasi 185 dana amanah saham setakat akhir Mac 2025," kata kumpulan itu.

Sementara itu, pendapatan faedah bersih dan pembiayaan kumpulan meningkat sebanyak 3.5% kepada RM2.8 bilion.

Sepanjang suku tersebut, portfolio pinjaman Public Bank berkembang sebanyak 6.3% secara tahunan kepada RM403.9 bilion.

Francais deposit kumpulan mengekalkan kedudukan kecairan yang sihat dengan nisbah pinjaman kasar kepada dana dan ekuiti sebanyak 83.9% setakat akhir Mac 2025.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Dr Tay Ah Lek berkata, walaupun berdepan cabaran semasa dalam persekitaran operasi, prestasi kewangan terkini Public Bank mencerminkan daya tahan dan kekuatan asasnya.

"Pengurusan kos yang berhemah telah menghasilkan nisbah kos kepada pendapatan yang efisyen sebanyak 35%, disertai dengan pertumbuhan hasil yang berterusan, pulangan ke atas ekuiti pula berada pada paras 12.4%," katanya dalam satu kenyataan. - DagangNews.com

standard