hamden24/11/2026 - 17:21 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Nov – Public Packages Holdings Berhad (PPHB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Prestige Estate Sdn. Bhd. (PESB), mengambil alih enam lot tanah pegangan bebas berserta bangunan di Georgetown, Pulau Pinang pada harga RM55.01 juta secara tunai.
Pengambilalihan daripada R H Management Sdn. Bhd. (RHMSB) itu merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang kumpulan untuk memperluas portfolio hospitaliti, selain meneroka potensi pembangunan hotel dan meningkatkan nilai hartanah berkenaan.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, PPHB mula mempelbagaikan perniagaannya ke dalam segmen perhotelan dan pajakan hartanah komersial sejak 2013.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, segmen hospitaliti menyumbang kira-kira 11.37% kepada jumlah hasil keseluruhan kumpulan.
Hartanah yang diambil alih itu dikenal pasti mempunyai potensi untuk pembangunan hotel serta pembangunan bercampur, sekali gus mengukuhkan kedudukan PPHB dalam sektor hospitaliti.
Hartanah berkenaan terletak di No. 51 Madras Lane, Georgetown, merangkumi enam lot tanah iaitu Lot 897, 898, 899, 900, 901 dan 903.
Tapak itu kini menempatkan sebuah medan selera satu tingkat dengan bahagian dua tingkat, berkeluasan kira-kira 35,000 kaki persegi, selain kawasan tempat letak kereta terbuka.
Harga dipersetujui pembeli, penjual
Harga pembelian sebanyak RM55.01 juta atau RM55,007,680 dipersetujui berdasarkan prinsip pembeli rela, penjual rela, selepas mengambil kira lokasi strategik serta prospek hartanah berkenaan.
Nilai itu juga berpandukan nilai pasaran indikatif RM55 juta yang ditentukan oleh penilai bebas, Nawawi Tie Leung Property Consultants Sdn. Bhd. pada 12 Oktober 2026.
PPHB berkata, keseluruhan kos pengambilalihan akan dibiayai menerusi dana dalaman kumpulan.
Kumpulan itu mempunyai tunai bersih dan kesetaraan tunai sebanyak RM105.38 juta setakat 31 Disember 2025, sekali gus menyediakan fleksibiliti kewangan untuk membiayai pembelian berkenaan tanpa menjejaskan keperluan modal kerja hariannya.
PPHB menjangkakan pengambilalihan itu dapat meningkatkan nilai kepada pemegang saham menerusi potensi kenaikan nilai hartanah dalam jangka panjang serta penjanaan hasil baharu daripada segmen hospitaliti.
Transaksi berkenaan tidak memerlukan kelulusan pemegang saham dan dijangka selesai sepenuhnya menjelang suku pertama 2027. - DagangNews.com

