Pekat Group beli enam bidang tanah industri di Nilai daripada Sime Darby Property bernilai RM30.58 juta

LocalBusiness & Finance
2 Nov 2026 • 12:47 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pekat Group beli enam bidang tanah industri di Nilai daripada Sime Darby Property bernilai RM30.58 juta Image from: Pekat Group beli enam bidang tanah industri di Nilai daripada Sime Darby Property bernilai RM30.58 juta hamden02/11/2026 - 12:47 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 2 Nov - Pekat Group Bhd menerusi anak syarikat tidak langsung milik 60%, EPE Switchgear (M) Sdn Bhd, memeterai perjanjian untuk memperoleh enam bidang tanah perindustrian pegangan bebas di Bandar Hamilton Nilai, Negeri Sembilan, pada harga RM30.58 juta.

 

Pemerolehan daripada Sime Darby Property (Nilai) Sdn Bhd itu membabitkan tanah bersebelahan dengan keluasan keseluruhan 38,108 meter persegi di Mukim Labu, Daerah Seremban.

 

Pekat dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, EPE Switchgear memeterai enam perjanjian jual beli berasingan dengan Sime Darby Property (Nilai) pada 30 Oktober 2026 bagi melaksanakan pemerolehan berkenaan.

 

Balasan pembelian bersih sebanyak RM30.58 juta itu ditentukan selepas mengambil kira rebat berjumlah RM2.25 juta daripada jumlah harga pembelian asal sebanyak RM32.82 juta.

 

Rebat berkenaan merangkumi rebat pembelian awal sebanyak 3%, rebat khas pembelian pukal sebanyak 2% dan rebat pemeteraian awal sebanyak 2%, yang masing-masing dikira secara berturutan.

 

Harga pembelian itu turut merangkumi kerja-kerja infrastruktur yang akan dilaksanakan oleh pihak penjual.

 

Pengembangan kumpulan

Pekat berkata, pemerolehan berkenaan bertujuan memenuhi keperluan pengembangan Kumpulan memandangkan premis sedia ada EPE Switchgear di Nilai tidak mempunyai kapasiti mencukupi untuk menampung rancangan pertumbuhan operasi.

 

Tanah baharu itu akan menempatkan operasi pembuatan peralatan suis (switchgear) sedia ada EPE, selain menyokong perniagaan sistem penyimpanan tenaga bateri, transformer dan pencawang elektrik Kumpulan.

 

Menurut syarikat itu, pemerolehan berkenaan turut memberikan jaminan pegangan tanah jangka panjang kepada Kumpulan bagi menyokong kesinambungan operasi perniagaannya.

 

Kesemua enam bidang tanah itu merupakan tanah pegangan bebas dengan kategori kegunaan perindustrian dan syarat nyata yang menetapkan penggunaannya bagi tujuan perindustrian sahaja.

 

Dari segi kesan kewangan, Pekat berkata, pemerolehan itu tidak akan memberikan kesan terhadap modal saham dan pegangan saham pemegang saham utamanya.

 

Ia juga tidak dijangka memberikan kesan material terhadap aset bersih dan pendapatan Kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, kecuali kos pembiayaan daripada pinjaman yang digunakan.

 

Bagaimanapun, tahap penggearan Kumpulan berkemungkinan meningkat sekiranya pinjaman bank digunakan bagi membiayai pemerolehan tersebut. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved