PublicInvest menilai Prolintras Infra Business Trust pada RM1.08
diyana
13/03/2024 - 12:57
KUALA LUMPUR 13 Mac - Public Investment Bank menganggarkan nilai saksama Prolintras Infra Business Trust pada RM1.08 seunit, potensi pulangan keuntungan 13.7% daripada harga tawaran awam permulaannya (IPO) bernilai 95 sen.
Firma penyelidikan itu berkata, nilai berkenaan dicapai berdasarkan pendekatan model diskaun dividen (DDM) kerana kumpulan amanah tersebut berhasrat untuk mengagihkan sekurang-kurangnya 90% daripada jumlah boleh diagihkannya setiap tahun.
“Pengurus pemegang amanah itu akan mengagihkan jumlah pengagihan sebanyak RM70 juta untuk tahun kewangan 2024 (FY24), dengan hasil pengagihan dan nisbah pembayaran agihan dianggarkan masing-masing pada 6.7% dan 101.9%,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Prolintas, melalui anak-anak syarikatnya, terlibat terutamanya dalam pembinaan, kutipan tol, operasi dan penyelenggaraan lebuhraya, iaitu Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Sistem Lingkaran Lebuhraya Kajang (SILK), serta penyediaan kemudahan sampingan untuk melengkapkan operasi lebuhraya.
Menurut PublicInvest, kumpulan amanah perniagaan lebuh raya pertama Malaysia itu mempunyai kekuatan daya saing termasuk aliran tunai yang mampan untuk pemegang unit dan hak eksklusifnya dalam mengurus lebuhraya dengan trafik tinggi.
Tambahnya, Lembaga Pengarah dan pasukan pengurusan kanan Prolintas terdiri daripada individu-individu berkelayakan dan berpengalaman dan ia mencapai kecemerlangan operasi melalui sistem pengurusan yang mematuhi ISO.
Di samping itu, PublicInvest berkata kekuatan kumpulan amanah itu turut disokong penggunaan teknologi inovatif untuk operasi lebuh raya yang dipertingkatkan, komitmen terhadap inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan pertumbuhan strategik menerusi pengambilalihan lebuh raya yang menjana pendapatan.
“Pemacu utama Prolintas termasuk lebihan kapasiti jalan awam, batasan pengangkutan awam, pertumbuhan penduduk serta pembangunan perbandaran dan koridor berhampiran lebuhraya, dan peningkatan pendapatan serta kemampuan pemilikan kenderaan dan penggunaan tol,” katanya.
Dari segi risiko kelemahan utama, PublicInvest berkata ia termasuk tamat tempoh atau penamatan awal perjanjian konsesi dan persaingan antara laluan alternatif atau mod pengangkutan.
Selain itu, ia juga berdepan risiko berkaitan bangunan di sepanjang lebuhraya yang tidak mempunyai kebenaran merancang dan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC), selain kadar tol tidak dikawal dan pengaturan pampasan, serta potensi peralihan kepada sistem tol aliran pantas berbilang lorong (MLFF). - DagangNews.com

