TA Securities menilai Prolintas Infra Business Trust pada RM1.06
diyana
11/03/2024 - 09:34
KUALA LUMPUR 11 Mac - TA Securities telah menilai Prolintas Infra Business Trust pada RM1.06, berdasarkan hasil sasaran sebanyak 6% untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY25).
Firma penyelidikan itu, yang tidak mempunyai penarafan untuk saham itu, berkata hasil sasarannya sebanyak 6% adalah munasabah, memandangkan aliran hasil kumpulan amanah perniagaan tersebut konsisten daripada konsesi jangka panjang, ditambah dengan halangan yang tinggi untuk kemasukan pesaing dan persaingan terhad.
“Selain itu, kumpulan amanah berkenaan menawarkan peluang pertumbuhan yang menjanjikan dan memegang status patuh syariah.
“Secara perbandingan, REIT syariah tersenarai pada masa ini menawarkan hasil pengagihan FY25 antara 4.6% hingga 6.2%,” katanya dalam nota penyelidikan.
Menurut TA Securities, Prolintas Infra Business Trust telah menyediakan unjuran keuntungan bersihnya untuk FY24, dengan keuntungan bersih dan pendapatan boleh agih masing-masing berjumlah RM8.3 juta dan RM68.7 juta.
“Bagi FY25 dan FY26, kami meramalkan pendapatan boleh agih masing-masing meningkat 2.1% dan 3.7%, disokong oleh pertumbuhan jumlah trafik sebanyak 3.3% dan 3.5% pada tahun yang sama,” katanya.
Prolintas Infra Business Trust bakal disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 25 Mac dengan IPO berharga 95 sen sesaham.
Dengan menyasarkan hasil IPO berjumlah RM445.3 juta, dana yang diperoleh daripada IPO akan disalurkan sepenuhnya kepada Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd yang dimiliki oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB). - DagangNews.com

