PublicInvest positif terhadap pelan transformasi Wasco beri tumpuan kepada tenaga bersih
diyana
19/09/2023 - 10:21
KUALA LUMPUR 19 Sept - PublicInvestment Bank (PublicInvest) positif terhadap pelan transformasi Wasco Bhd, yang berperanan penting untuk kumpulan itu mengekalkan kepimpinannya, sambil menerima landskap tenaga masa depan dengan peruntukan modal dan sumber yang lebih cekap.
Pelan transformasi yang dimulakan oleh Pengarah Urusan Kumpulan (GMD) baharu, Giancarlo Maccagno, selepas menerajui syarikat itu sejak 1 Julai 2023, memberi tumpuan kepada perniagaan utamanya iaitu tenaga dan biotenaga, serta melupuskan aset dan perniagaan fizikal bukan utama menjelang akhir 2023, kata firma penyelidikan itu.
Walaupun kedudukannnya kukuh sebagai peneraju global dalam salutan paip, PublicInvest berkata kumpulan itu merancang untuk meningkatkan perkhidmatan untuk merebut lebih banyak peluang dalam projek tenaga bersih.
“Walaupun kami positif terhadap rancangannya, kami mengekalkan saranan ‘neutral’ dan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM1, sementara menunggu pelaksanaannya,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
PublicInvest berkata Wasco mempunyai buku tender dan buku pesanan yang kini berada pada paras tertinggi sepanjang masa iaitu masing-masing sebanyak RM7 bilion dan RM3.9 bilion.
Jelasnya, angka tersebut disumbangkan oleh dua faktor iaitu, 1) penyambungan semula projek tertunggak, yang ditangguh akibat pandemik COVID-19, dan 2) tempahan salutan paip yang meningkat akibat pencerobohan Rusia ke atas Ukraine kerana sesetengah negara sedang mencari pembekal gas alternatif, justeru mempercepatkan projek berkaitan gas.
Di samping itu, PublicInvest berkata pihak pengurusan Wasco menjangkakan segmen tenaganya mengalami peningkatan pendedahan kepada projek berkaitan tenaga bersih seperti fabrikasi dan salutan bilah angin untuk ladang angin, pembinaan pencawang untuk projek tenaga boleh diperbaharui (RE) dan salutan paip untuk simpanan tangkapan karbon (CCS).
Disokong oleh buku pesanan tinggi sepanjang masa sebanyak RM3.9 bilion, firma itu berkata kebanyakan kemudahan utamanya mencapai kadar penggunaan penuh dan mencapai skala ekonomi.
Di samping itu, Wasco juga merancang untuk memanfaatkan pertumbuhan penjanaan kuasa biojisim dengan membekalkan dandang biojisim dan turbin stim kepada pengilang industri seperti kilang kertas, kilang keluli, kilang minyak sawit dan kilang gula.
Walaupun segmen ini hanya menyumbang sedikit pendapatan buat masa ini, PublicInvest berkata pihak pengurusan optimistik potensinya untuk berkembang dengan ketara dengan memanfaatkan agenda kerajaan, terutamanya Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).
PublicInvest berkata Wasco juga akan melupuskan aset dan perniagaan fizikal bukan teras agar ia dapat melaksanakan pelan transformasinya, membolehkan kumpulan itu menyalurkan semula modal dan sumbernya kepada perniagaan utamanya.
Pada pukul 10:20 pagi ini, saham Wasco menokok 2 sen atau 2% kepada RM1.04 dengan permodalan pasaran bernilai RM805.9 juta. - DagangNews.com




