PublicInvest: Projek bekalan air selama 40 tahun jana hasil berulang Gamuda RM105 juta setahun

LocalBusiness & Finance
20 Jul 2026 • 11:50 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PublicInvest: Projek bekalan air selama 40 tahun jana hasil berulang Gamuda RM105 juta setahun Image from: PublicInvest: Projek bekalan air selama 40 tahun jana hasil berulang Gamuda RM105 juta setahun amree20/07/2026 - 11:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 JulaiGamuda Berhad mengukuhkan prospek pendapatan jangka panjang apabila projek Skim Bekalan Air Perak Utara (NPWSS) memasuki fasa penting, menurut Public Investment Bank.

 

Katanya, ia susulan pemeteraian perjanjian bekalan air pukal (BWSA) selama 40 tahun, dengan membuka ruang aliran hasil berulang walaupun projek itu masih lagi berdepan beberapa kelulusan kawal selia.

 

Langkah itu menjadi pemangkin positif kerana kumpulan bakal menikmati dua sumber pendapatan iaitu sepanjang tempoh pembangunan projek dan hasil utiliti berulang selepas operasi komersial bermula.

 

"Justeru, kami mengekalkan saranan 'outperform' terhadap saham Gamuda dengan harga sasaran (TP) sebanyak RM5.60 sesaham, tanpa sebarang perubahan kepada unjuran pendapatan," jelas PublicInvest.

 

Menurutnya, menerusi pembentukan syarikat usaha sama (JV) 50:50 dengan Khazanah Air Perak Sdn Bhd (KAP), ia memeterai BWSA bersama Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) baru-baru ini.

 

Perjanjian itu mewujudkan rangka kerja komersial bagi pembekalan air terawat dari Kerian, Perak ke Pulau Pinang di bawah NPWSS, dengan bekalan disasarkan bermula selewat-lewatnya pada 31 Mac 2032.

 

Gamuda_DagangNews2026

 

Ujar PublicInvest, di bawah BWSA, jumlah bekalan minimum ditetapkan 300 juta liter sehari (MLD) dan maksimum 500 MLD, yang menyediakan sumber air baharu kepada Pulau Pinang bagi tempoh 40 tahun.

 

"Caj kapasiti dianggarkan RM210 juta setahun, dengan Gamuda melalui pegangan 50% ekuiti dalam JV itu dianggarkan bernilai RM105 juta setahun, tidak termasuk hasil dari caj bekalan air," katanya.

 

Tambah firma itu, caj bekalan bermula RM1.70 bagi setiap meter padu, dengan kadar semakan meningkat 11.75% setiap tiga tahun, selain pelarasan kos bahan kimia dan elektrik dihadkan hanya 4% setahun.

 

Walaupun tiada impak kewangan ketara dalam tempoh terdekat, projek itu kata PublicInvest, bakal menyumbang positif kepada kumpulan apabila pembangunan bermula dan konsesi memasuki fasa operasi.

 

Bagaimanapun, pelaksanaan penuh projek masih tertakluk kepada beberapa syarat termasuk kelulusan pihak berkuasa berkaitan, serta pemeteraian perjanjian muktamad dengan Kerajaan Negeri Perak.

 

"Secara keseluruhan, kami berpandangan projek NPWSS akan mengukuhkan profil pendapatan jangka panjang Gamuda menerusi gabungan hasil pembinaan dan aliran pendapatan berulang," jelasnya.

 

Perkembangan tersebut ujar PublicInvest, berpotensi memperkukuh kedudukan kumpulan itu sebagai antara pemain utama dalam pembangunan infrastruktur utiliti negara. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved