Pukul bodyguard berpuasa: Majikan kekal bersalah, dijel 5 tahun

29 Jul 2026 • 6:34 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pukul bodyguard berpuasa: Majikan kekal bersalah, dijel 5 tahun
Chee Yang (dua dari kanan) dihukum penjara serta didenda RM22,000 oleh Mahkamah Majistret pada 28 Mac 2025.
Image from: Pukul bodyguard berpuasa: Majikan kekal bersalah, dijel 5 tahun
Gambar tular kejadian melibatkan dua pengawal peribadi yang dicederakan dan dihina kerana berpuasa pada 2021.
Image from: Pukul bodyguard berpuasa: Majikan kekal bersalah, dijel 5 tahun
Gambar fail Mohd Azminizam (dua dari kanan) dan Ahmad Shamsuridan (kiri) yang dihina, dicederakan dan diugut kerana berpuasa pada 2021 oleh majikannya.

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu mengekalkan sabitan bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun terhadap seorang ahli perniagaan yang menghina, mencederakan dan mengugut pengawal peribadinya kerana berpuasa pada 2021.

Hakim Datuk Seri Shamsulbahri Ibrahim memutuskan demikian selepas menolak rayuan Chung Chee Yang, 48, selaku perayu untuk mengetepi sabitan bersalah bagi tiga pertuduhan tersebut.

Bagaimanapun, Shamsulbahri membenarkan rayuan perayu agar hukuman penjara enam tahun 10 bulan yang diputuskan Mahkamah Majistret Klang pada tahun lalu dijalankan secara serentak, sekali gus menjadikan tempoh pemenjaraan itu lima tahun.

"Mahkamah bersetuju dengan hujahan perayu bahawa Majistret terkhilaf apabila menjatuhkan hukuman secara berasingan sedangkan perayu melakukan kesalahan pada hari dan lokasi sama membabitkan mangsa yang serupa.

"Susulan itu, hukuman penjara seharusnya berjalan secara serentak bermula hari ini," kata hakim.

**media[3598922]**

Dalam pada itu, beliau turut menolak permohonan perayu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

Pada 28 Mac 2025, Sinar Harian melaporkan, Chee Yang didapati bersalah dan dihukum penjara enam tahun 10 bulan serta didenda RM22,000.

Majistret, Siti Zubaidah Mahat memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara tambahan selama 21 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut (perayu telah membayar denda tersebut).

Bagi kes mengugut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, tertuduh dihukum penjara lima tahun dan denda RM10,000, manakala bagi kes kedua iaitu mengeluarkan perkataan-perkataan yang melukakan agama Islam di bawah Seksyen 298 kanun yang sama, tertuduh dihukum penjara setahun dan denda RM10,000.

Bagi kes sengaja menyebabkan kecederaan ke atas pengawal peribadi mengikut Seksyen 323 kanun yang sama, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan denda RM2,000.

Siti Zubaidah memerintahkan hukuman pemenjaraan berjalan secara berasingan.

**media[3598923]**

Sementara itu, ketika membaca keputusan penghakiman, Shamsulbahri berkata, tindakan perayu mengeluarkan kata-kata sambil mengacukan pistol kepada mangsa, membawa erti ugutan yang boleh mengundang kematian.

Katanya, mahkamah mendapati perkataan itu dikeluarkan dengan sengaja bagi melukakan agama pengawal peribadi terbabit.

Berdasarkan kata-kata berkenaan juga katanya, perayu menganggap lebih kaya dan hebat daripada tuhan kedua-dua pekerjanya.

Semasa hujahan, beliau berkata, perayu menyatakan hukuman dijatuhkan keterlaluan walhal dia sering membantu orang ramai di samping mempunyai lebih 1,000 pekerja.

"Berdasarkan hal ini, saya mendapati kesalahan perayu amat serius dan mahkamah sewajarnya menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan kesalahan dilakukan, sebagai pengajaran.

"Ia turut menjadi mesej jelas kepada masyarakat bahawa mahkamah tidak berkompromi dengan kesalahan begini, iaitu mendera dan melakukan kekasaran kepada pekerja sendiri yang datang mencari nafkah untuk kelangsungan hidup wajar dibanteras.

"Menghina tuhan agama lain merupakan perbuatan yang tidak wajar diucapkan oleh seseorang yang dikatakan berbakti kepada masyarakat berbilang kaum.

"Saya mendapati hukuman dijatuhkan Majistret berada dalam lingkungan yang dibenarkan undang-undang dan amat berpatutan dengan keseriusan kesalahan dilakukan, justeru tiada alasan munasabah untuk saya campur tangan dalam hukuman tersebut," katanya.

Dalam kes tersebut, perayu diwakili peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sementara pendakwaan selaku responden dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Najiha Tengku Zahari.

Mengikut pertuduhan pertama, Chee Yang didakwa mendatangkan ketakutan jenayah dengan mengugut hendak menyebabkan kecederaan parah dengan mengacukan pistol ke arah Mohd Azminizam Zulkepli, 49.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengeluarkan perkataan-perkataan yang mengaitkan ALLAH dan puasa dengan niat untuk melukakan perasaan penganut agama Islam, yang didengar oleh Mohd Azminizam dan Ahmad Shamsuri Zailani, 32.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Azminizam mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semua kesalahan didakwa dilakukan di luar sebuah rumah di Bandar Bukit Tinggi, Klang, antara jam 9.30 hingga 10.30 malam, pada 13 April 2021.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved