Pukul isteri dengan kerusi, penganggur didenda RM3,500

LocalPolitics
10 Apr 2026 • 12:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tertuduh mengaku bersalah mendatangkan kecederaan ke atas isterinya menggunakan kerusi plastik dalam kejadian Jumaat lalu.

MELAKA - Seorang penganggur didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada Jumaat selepas mengaku bersalah mencederakan isterinya dengan menggunakan kerusi dalam kejadian minggu lalu.

Tertuduh, Mohd Hairi Majid, 48, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas isterinya yang berusia 41 tahun dengan cara memukul mangsa menggunakan kerusi plastik.

Perbuatan itu dilakukan pada Jumaat lalu kira-kira jam 2 petang di sebuah rumah beralamat Jalan PMD 1, Taman Pengkalan Minyak Damai.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Alia Safri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuannya, bapa kepada dua anak itu memohon agar hukuman denda dikurangkan memandangkan ia merupakan kesalahan pertamanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,500 atau penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.