Suami didakwa cuba bunuh isteri dengan bantal

LocalPolitics
1 Apr 2026 • 12:12 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tertuduh, Mohd Yusof Mat Yatim, 42, didakwa cuba membunuh isterinya dalam kejadian di sebuah rumah bulan lalu.

IPOH - Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu atas dakwaan cuba membunuh isterinya dalam kejadian di sebuah rumah bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Yusof Mat Yatim, 42, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Persiaran Raya 1, Taman Changkat Lada Raya, Seberang Perak, Kampung Gajah dalam daerah Perak Tengah lebih kurang jam 9 pagi pada 25 Mac 2025.

Mengikut pertuduhan, lelaki tersebut telah melakukan satu perbuatan iaitu menekup muka menggunakan bantal dengan mengetahui melalui perbuatan tersebut boleh menyebabkan kematian terhadap Nur Syazwana Mohd Talaha, 38.

Perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda dan boleh dipenjarakan selama 20 tahun sekiranya perbuatan itu menyebabkan cedera parah jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang merupakan bapa kepada tiga anak itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Pegawai pendakwa, Inspektor Zahira Musa kemudian memohon agar mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh berikutan sikap agresif yang ditunjukkannya ketika siasatan dijalankan.

Menurutnya, tertuduh pernah bertindak agresif sepanjang siasatan dan pernah cuba terjun dari tingkat empat.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan berkenaan dan menetapkan 4 Mei depan untuk sebutan semula kes selain bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.