Pukul isteri: Lelaki didakwa

LocalPolitics
29 Aug 2025 • 4:55 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Seorang peniaga berusia 42 tahun didakwa di Mahkamah Majistret pada Khamis atas pertuduhan mencederakan serta melakukan ugutan jenayah.

Lim Yoong Fei yang hadir di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan ke atasnya.

Bagi pertuduhan pertama Lim didakwa dengan sengaja mencederakan isterinya yang berusia 38 tahun pada 19 Ogos lalu jam 4.30 petang di sebuah restoran di Borneon Centre, Jalan Kolam.

Lim dituduh mengikut Seksyen 323 dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Seksyen 323 memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan manakala Seksyen 326A memperuntukkan hukuman jika kecederaan dilakukan terhadap pasangan, bekas pasangan, anak atau orang dewasa kurang upaya iaitu hukuman boleh menjadi dua kali ganda maksimum daripada kesalahan asal di bawah Seksyen 323, 324, 325, 326, 334 atau 335.

Bagi pertuduhan kedua Lim didakwa mengugut untuk mencederakan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun di tempat dan waktu yang sama.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 16 Oktober dan 22 Oktober untuk sebutan kes pertama dan kedua.

Lim ditawarkan ikat jamin RM3,000 dengan dua penjamin bagi pertuduhan pertama dan RM2,000 juga dengan dua penjamin bagi pertuduhan kedua.

Sementara itu Lim turut didakwa mengambil dadah jenis amfetamin dan syabu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 20 Ogos jam 3.10 petang di Balai Polis di sini.

Mengambil dadah di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 30 Oktober untuk sebutan kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,200.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Akaash Singh mengendalikan pendakwaan.