
Empat Lelaki Didakwa Bunuh Anggota Polis
ALOR SETAR, 25 Ogos (Bernama) — Empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang anggota polis, awal bulan ini.
Keempat-empat suspek yang berusia 24, 26, 25 dan 34 tahun itu mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Eliana Ismail.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mereka didakwa secara bersama-sama membunuh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35, di hadapan sebuah rumah di Taman Golf, di sini pada 3.43 petang, 7 Ogos lepas.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Kedah Datuk Khairul Anuar Abdul Halim manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 23 Nov depan untuk sebutan semula kes.
Sumber: Bernama
The post Empat Lelaki Didakwa Bunuh Anggota Polis appeared first on Siakap Keli.
