GEORGE TOWN - Di sebalik kesibukan pembangunan selari arus pemodenan, sebuah pulau baharu muncul sebagai simbol perubahan landskap pesisir negeri ini.
Pulau Andaman kini dilihat sebagai antara projek pembangunan paling signifikan yang bakal membentuk masa depan kawasan utara negeri terbabit.
Terletak berhampiran Tanjung Tokong, pulau buatan ini dibangunkan dengan visi mewujudkan sebuah bandar moden menggabungkan kehidupan urban dengan elemen alam semula jadi.
Pulau buatan berkeluasan 291 hektar akan menjadi projek perbandaran bersepadu terbesar di Malaysia.
Dibangunkan Eastern & Oriental Berhad (E&O), Pulau Andaman merupakan sebahagian pelan pembangunan pesisir berskala besar dirancang secara berfasa dalam tempoh beberapa tahun.
**media[3511745]**
Ketika ini, sebanyak 102 hektar dibangunkan bagi fasa satu membabitkan pembinaan apartmen The Meg 1,020 unit dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM647 juta.
Kewujudan pulau ini juga menjadi lanjutan kepada pembangunan pesat di daerah ini yang menjadi pusat ekonomi, pelancongan dan warisan negeri.
Menariknya, pembangunan Pulau Andaman tidak hanya menumpukan kepada pembinaan bangunan tinggi dan projek hartanah semata-mata.
Sebaliknya, ia dirancang sebagai bandar pesisir menekankan keseimbangan pembangunan dan kelestarian alam.
Konsep living with nature menjadi teras utama perancangan kawasan tersebut.
Ruang hijau, taman rekreasi dan laluan pejalan kaki serta berbasikal dirancang bagi menggalakkan gaya hidup aktif.
Selain itu, pantai awam dibangunkan dijangka menjadi tarikan baharu orang ramai untuk beriadah dan menikmati pemandangan laut.
Pantai tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat mendekati alam, malah berpotensi menjadi lokasi rekreasi popular yang mampu merancakkan sektor pelancongan negeri.
**media[3511747]**
Dalam masa sama, Pulau Andaman turut menempatkan pelbagai kemudahan moden termasuk kawasan komersial, restoran, pusat gaya hidup serta ruang komuniti untuk masyarakat.
Gabungan kemudahan ini menjadikan pulau tersebut lebih bukan sekadar kawasan kediaman eksklusif, sebaliknya sebuah komuniti lengkap yang menyokong gaya hidup bandar moden.
Dari perspektif ekonomi, pembangunan Pulau Andaman dijangka memberi impak positif kepada sektor hartanah dan pelaburan di negeri ini.
Kehadiran projek berskala besar membuka peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor termasuk pembinaan, perkhidmatan, perhotelan dan pelancongan.
Bagi penduduk tempatan, pembangunan pulau ini turut membawa harapan baharu terhadap peningkatan kemudahan awam dan infrastruktur.
Namun begitu, seperti projek pembangunan lain, Pulau Andaman turut mendapat perhatian pelbagai pihak khususnya berkaitan isu alam sekitar dan kesan terhadap ekosistem laut.
Justeru, pelbagai langkah dirancang bagi memastikan pembangunan dilakukan secara lebih bertanggungjawab termasuk usaha pemulihan habitat laut dan penggunaan teknologi hijau.
Pendekatan ini penting bagi memastikan keseimbangan antara keperluan pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar dapat dicapai.
Dalam jangka panjang, Pulau Andaman berpotensi menjadi kawasan kediaman dan rekreasi unik di pesisir utara Pulau Pinang.
Gabungan keindahan pantai, kemudahan moden serta persekitaran yang dirancang secara teratur menjadikan pulau ini memiliki daya tarikan tersendiri.
Jika perancangannya berjalan seperti dirangka, Pulau Andaman boleh menjadi model pembangunan bandar pesisir yang mampan di Malaysia.
Akhirnya, kemunculan Pulau Andaman bukan sekadar menambah keluasan tanah di Pulau Pinang, tetapi turut melakar satu bab baharu dalam evolusi pembangunan negeri yang terkenal dengan warisan, budaya dan ekonomi dinamik.
