GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang akan melaksanakan penggunaan kamera badan bagi merakam video dan gambar sebagai bahan bukti dalam operasi penguatkuasaan kesalahan pembuangan sampah kecil bermula 1 Julai depan.
Langkah itu merupakan antara garis panduan pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) bagi kesalahan pembuangan sampah kecil yang akan dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, H’ng Mooi Lye berkata, penggunaan kamera badan bertujuan memastikan tindakan penguatkuasaan dijalankan secara lebih telus, berintegriti dan mengelakkan pertikaian.
Menurutnya, setiap operasi penguatkuasaan perlu dijalankan secara berkumpulan dengan minimum dua anggota bagi setiap pasukan.
“Setiap pasukan operasi PBT yang melaksanakan operasi sampah kecil perlu bergerak secara berkumpulan dan minimum satu kumpulan terdiri daripada dua anggota.
“Setiap pasukan juga mesti diketuai pegawai operasi dan sekurang-kurangnya seorang anggota dalam kumpulan tersebut perlu memakai kamera badan,” katanya pada sidang media di pejabatnya pada Selasa.
**media[3525520]**
Beliau berkata, selain kamera badan, rakaman video turut digunakan sebagai bahan bukti sekiranya timbul pertikaian ketika operasi dijalankan.
“Pendekatan ini penting supaya penguatkuasaan dapat dijalankan secara profesional dan lebih praktikal,” ujarnya.
Mengulas mengenai penggunaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar George Town, beliau berkata, rakaman itu juga boleh dijadikan bahan bukti, namun pihaknya masih mengutamakan kehadiran pegawai penguat kuasa di lapangan.
“Saya tidak menggalakkan penggunaan CCTV semata-mata kerana mungkin akan timbul pertikaian. Ini merupakan pelaksanaan baharu di Pulau Pinang walaupun kuasa mengenainya telah diberikan di peringkat kebangsaan sejak 1 Januari lalu,” katanya.
Beliau menambah, setakat ini, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mempunyai 170 unit kamera badan manakala Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mempunyai 17 unit dengan setiap unit bernilai RM1,000.
Katanya, kerajaan negeri mengambil masa kira-kira enam bulan bagi menyediakan garis panduan sendiri yang bersesuaian sebelum pelaksanaan penuh dibuat di Pulau Pinang.
Menurutnya, garis panduan tersebut telah diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 6 Mei lalu dan akan ditambah baik dari semasa ke semasa mengikut keperluan.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pelaksanaan PKM itu selaras aspirasi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersih, mampan dan lestari.
"Antara kesalahan yang boleh dikenakan tindakan di bawah pelaksanaan itu termasuk membuang puntung rokok di tempat awam, membuang tisu, plastik, botol dan pembungkus makanan merata-rata serta membuang sampah ke dalam longkang atau parit.
"Individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau diperintahkan menjalani PKM maksimum 12 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan ataupun kedua-duanya sekali," ujarnya.
Sebelum ini, dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Mooi Lye mengumumkan pelaksanaan PKM di Pulau Pinang dijangka menjadi mekanisme baharu dalam menangani kesalahan pembuangan sampah kecil melalui pendekatan hukuman berbentuk khidmat masyarakat di kawasan awam.
Beliau berkata, di bawah pelaksanaan itu, kerja-kerja pembersihan awam akan menjadi teras utama PKM yang melibatkan aktiviti seperti mengutip sampah, menyapu, mencuci, mengemop, mengecat serta mengumpul sisa pepejal di lokasi-lokasi tumpuan awam.
Menurutnya, antara kawasan yang dikenal pasti termasuk jalan awam, pasar awam, pasar tani, pasar malam, longkang, pantai, perhentian bas, tandas awam, taman awam, laluan pejalan kaki, jejantas, medan selera dan pusat penjaja.


