GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang memberi jaminan tidak akan menaikkan kadar sewaan premis perniagaan di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) walaupun berdepan peningkatan kos operasi susulan kenaikan harga diesel di pasaran antarabangsa.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, H’ng Mooi Lye berkata, langkah itu diambil bagi melindungi kelangsungan peniaga kecil yang turut terkesan dengan peningkatan kos sara hidup dan kos operasi semasa.
Menurutnya, kerajaan negeri menyambut baik saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar PBT dan agensi berkaitan mempertimbangkan penurunan kadar sewa premis perniagaan bagi membantu golongan peniaga kecil. 
“Kerajaan Pulau Pinang sentiasa mengambil pendekatan prihatin dan proaktif dalam menetapkan kadar sewaan premis perniagaan di bawah seliaan PBT dengan memastikan kadar yang dikenakan kekal berpatutan serta lebih rendah berbanding kadar pasaran semasa.
“Kadar sewaan juga ditetapkan berdasarkan keluasan, fasiliti dan lokaliti premis perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. 
Beliau berkata, kadar sewaan gerai di pasar awam di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) ketika ini adalah antara RM6 hingga RM330 sebulan manakala di bawah Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) antara RM33 hingga RM300 sebulan.
"Bagi kompleks makanan pula, kadar sewaan di bawah MBPP adalah antara RM8 hingga RM800 sebulan, manakala MBSP antara RM36 hingga RM330 sebulan," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata, konflik geopolitik berpanjangan di Timur Tengah memberi kesan kepada ekonomi global termasuk peningkatan harga minyak mentah dan kos logistik yang turut menjejaskan operasi PBT di negeri ini.
Katanya, peningkatan kos itu melibatkan penggunaan kenderaan berat untuk kerja pembersihan awam, kutipan sisa pepejal, penyelenggaraan pokok dan pelbagai perkhidmatan perbandaran lain.
“Perbelanjaan diesel oleh kedua-dua PBT dijangka meningkat antara 15 hingga 20 peratus pada tahun 2026 berbanding tahun sebelumnya.
“Namun, impak kewangan tersebut tidak akan dipindahkan kepada peniaga kecil melalui peningkatan kadar sewaan premis di bawah seliaan PBT,” katanya. 
Tambah beliau, PBT di Pulau Pinang akan mengekalkan kadar sewaan sedia ada buat masa ini kerana ia masih berpatutan dan lebih rendah berbanding kadar pasaran semasa.
Bagaimanapun katanya, penelitian terhadap saranan Perdana Menteri itu akan diteruskan dari masa ke semasa berdasarkan kedudukan kewangan serta keupayaan semasa PBT.
Sebelum ini, Anwar mengarahkan kadar sewa premis perniagaan milik semua agensi kerajaan Persekutuan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan UDA Holdings Bhd diturunkan mulai bulan ini bagi membantu peniaga kecil mengurangkan kos operasi.
Anwar berkata, langkah itu sebahagian daripada usaha kerajaan dalam membantu peniaga dan penjaja yang turut terkesan akibat krisis bekalan global ketika ini.





