Pulau Pinang, Johor, Selangor, Sarawak dan KL penyumbang utama eksport Malaysia 2023 - DOSM

12 Jun 2024 • 12:35 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pulau Pinang, Johor, Selangor, Sarawak dan KL penyumbang utama eksport Malaysia 2023 - DOSM

herman

12/06/2024 - 12:35

KUALA LUMPUR 12 Jun - Lima negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Johor, Kuala Lumpur dan Sarawak mencatatkan sumbangan 80.9% daripada jumlah perdagangan Malaysia pada tahun 2023, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama Malaysia dengan sumbangan 31.4%, diikuti oleh Johor (20.3%), Selangor (17.7%), Sarawak (7.8%) dan W.P. Kuala Lumpur (4.6%), jelas DOSM yang menerbitkan Statistik Perdagangan Malaysia Mengikut Negeri 2024 bagi tahun rujukan 2023.

Keseluruhannya, jumlah perdagangan Malaysia bernilai RM2.6 trilion pada tahun 2023 dengan nilai eksport RM1.4 trilion dan import bernilai RM1.2 trilion.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, eksport Malaysia pada tahun 2023 turun sebanyak 8% berbanding RM1.6 trilion pada tahun sebelumnya.

image is not available

Katanya, eksport yang lebih rendah direkodkan bagi kebanyakan negeri iaitu Johor (-RM31.9 bilion), Selangor (-RM21.2 bilion), Sarawak (-RM20.3 bilion), Pulau Pinang (-RM20.2 bilion), Sabah (-RM17.8 bilion), Labuan (-RM7.5 bilion), Perak (-RM5.1 bilion), Pahang (-RM3.0 bilion), Melaka (-RM2.4 bilion), Terengganu (-RM1.7 bilion) dan Perlis (-RM134.1 juta).

Walau bagaimanapun, jelas beliau, eksport di Kedah meningkat sebanyak RM6.2 bilion, Kuala Lumpur (+RM418.7 juta), Negeri Sembilan (+RM369.4 juta) dan Kelantan (+RM354.6 juta).

"Pengukuhan eksport disokong oleh produk litar elektronik bersepadu terutamanya di Pulau Pinang dan Selangor.

"Selain itu, keluaran petroleum bertapis merupakan penyumbang utama eksport di Johor manakala gas asli cecair (LNG) merupakan penyumbang utama eksport di negeri Sarawak," katanya dalam kenyataan hari ini.

image is not available

Beralih kepada prestasi import mengikut negeri, Dr Mohd Uzir memaklumkan import pada tahun 2023 mencatatkan penurunan sebanyak 6.4% atau RM82.3 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Penurunan import katanya, dipengaruhi oleh import yang lebih rendah bagi kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (-RM43.8 bilion), Johor (-RM13.9 bilion), Selangor (-RM9.9 bilion), Kedah (-RM7.8 bilion), Negeri Sembilan (-RM4.5 bilion), Sarawak (-RM3.3 bilion), Perak (-RM2.7 bilion), W.P. Labuan (-RM1.3 bilion), Melaka (-RM923.3 juta) dan Perlis (-RM132.8 juta).

"Walau bagaimanapun, import meningkat di W.P. Kuala Lumpur (+RM5.1 bilion), Pahang (+RM1.9 bilion), Terengganu (+RM1.0 bilion), Kelantan (+RM246.3 juta) dan Sabah (+RM209.3 juta).

image is not available

"Selangor mendominasi import negara dengan sumbangan 26.6 peratus, diikuti oleh Johor (22.4%), Pulau Pinang (20.7%), Kuala Lumpur (7.6%) dan Kedah (5.4%)," jelasnya.

image is not available
DR MOHD UZIR MAHIDIN

Menurut Dr Mohd Uzir, import yang tinggi dicatatkan di Selangor dan Johor disumbangkan oleh keluaran petroleum bertapis.

Di samping itu, katanya, litar elektronik bersepadu merupakan penyumbang utama import di Pulau Pinang dan Kedah manakala kelengkapan telekomunikasi, alat ganti dan aksesori merupakan penyumbang utama import di Kuala Lumpur. - DagangNews.com