GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang kekal dengan status quo meskipun terdapat perkembangan politik di peringkat nasional yang dilihat memberi tekanan kepada hubungan antara Pakatan Harapan (PH) dan UMNO.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, setakat ini pentadbiran negeri berjalan seperti biasa dan kerjasama antara parti dalam kerajaan negeri masih berada pada tahap baik.
Menurutnya, mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) juga akan diteruskan mengikut jadual bermula 8 Mei ini.
“Pulau Pinang berada dalam keadaan status quo pada masa ini. Kita masih bekerja dengan baik,” katanya selepas merasmikan Penang Autoshow 2026 di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai situasi politik di Pulau Pinang susulan krisis melibatkan UMNO dan PH di Negeri Sembilan yang berlaku ketika ini.
Untuk rekod, Datuk Rashidi Zinol adalah satu-satunya wakil UMNO yang dilantik sebagai Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan dalam Kerajaan Pulau Pinang.
Mengulas lanjut mengenai senario politik semasa, beliau menjelaskan bahawa landskap politik Malaysia kini semakin dinamik dan tidak semestinya terikat kepada satu bentuk kerjasama yang seragam di semua peringkat.
“Dalam situasi politik Malaysia hari ini, setiap parti perlu melihat kepada rakan gabungan masing-masing. Namun gabungan itu tidak semestinya 'rigid' atau sama di peringkat nasional dan negeri.
“Setiap negeri mungkin mempunyai penjajaran politik tersendiri, bergantung kepada keperluan dan kesesuaian bagi menghadapi pilihan raya.
"Saya percaya setiap negeri akan berusaha sedaya upaya untuk menghadapi pilihan raya dengan memberi peluang kepada rakyat memilih gabungan parti politik yang sehaluan, yang berkongsi agenda politik, pelan pembangunan serta hala tuju yang sama untuk negeri dan negara,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa keutamaan setiap gabungan adalah untuk membentuk kerjasama yang kukuh dan sehaluan dari segi agenda politik serta pelan pembangunan negeri.
“Yang penting ialah mendapatkan rakan gabungan yang boleh dipercayai untuk bertanding sebagai satu pasukan, dengan hala tuju dan agenda pembangunan yang sama,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan berhubung kemungkinan berlaku penjajaran politik baharu di peringkat negeri.
“Masih terlalu awal untuk kita membuat andaian. Banyak perkara bergantung kepada perkembangan politik termasuk sama ada pilihan raya negeri dan nasional akan diadakan serentak atau sebaliknya.
“Apa yang penting, kita perlu bersedia lebih awal dan mula membuat perancangan,” ujarnya.






