
KUALA LUMPUR 5 Dis – Malaysia berpeluang meningkatkan nilai ekonominya daripada kira-kira AS$2.5 trilion kepada lebih AS$16 trilion dalam kurang 10 tahun, hasil pertumbuhan pesat teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan reka bentuk semikonduktor.
Perkembangan ini menjadikan Pulau Pinang dan Koridor Utara antara hab rantaian bekalan global yang paling penting dan bernilai.
Wawasan Open University (WOU) dalam kenyataan berkata, potensi pertumbuhan sektor ini dibincangkan secara mendalam dalam satu Industry Roundtable anjuran George Town Institute of Open and Advanced Studies (GIOAS) di kampus utama WOU baru baru ini.
Sesi itu menghimpunkan pemimpin industri, penyelidik teknologi dan ahli akademik untuk menilai hala tuju daya saing Malaysia dalam era AI dan semikonduktor.
Menurut WOU, Malaysia kini menikmati momentum kukuh dalam kitaran kenaikan semikonduktor global, dengan Pulau Pinang menyumbang bahagian besar kepada hasil pengeluaran nasional.
Namun, peralihan pantas kepada reka bentuk cip bersepadu AI, tekanan geopolitik, ketidaktentuan tarif serta permintaan bakat kejuruteraan berkemahiran tinggi menuntut pendekatan jangka panjang dan lebih terselaras.
Pengerusi GIOAS, Tan Sri Andrew Sheng berkata revolusi AI dan semikonduktor kini menjadi pemacu ekonomi global bernilai trilion dolar.
“Revolusi semikonduktor dan AI sedang membentuk abad ke-21, berkembang daripada sektor teknologi hadapan bernilai AS$2.5 trilion kepada lebih US$16 trilion dalam tempoh kurang satu dekad. Cip adalah otak kepada setiap sistem pintar,” katanya.
Menurut beliau, persoalan utama kini bukan lagi penyertaan Malaysia dalam rantaian nilai global, sebaliknya keupayaan membina bakat, inovasi dan kepimpinan teknologi.
Tumpuan utama perbincangan ialah bagaimana Pulau Pinang boleh melonjak daripada kecemerlangan pengilangan kepada peneraju dalam reka bentuk IC bernilai tinggi, kejuruteraan berasaskan AI dan penyelidikan teknologi mendalam.
Aktiviti bernilai tinggi ini dilihat sebagai penentu sebenar daya saing dalam industri pintar, berbanding pengeluaran tradisional.
Roundtable itu menampilkan barisan tokoh antarabangsa:
• Dr Kewei Yang, Pengasas Bersama Analogix Semiconductor
• Leonard Tan, Pengarah Kejuruteraan Operasi Produk, Dell Technologies
• Ong Chin Hu, Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif GreatASIC Technology
• Tan Li Jia, Pengarah Seni AI di Riot Games
• Dr Sean Tan Koon Tatt, Dekan Fakulti Teknologi & Sains Kejuruteraan WOU
Menurut WOU, panel sebulat suara menegaskan bahawa walaupun ekosistem rantaian bekalan Pulau Pinang kekal sebagai kelebihan strategik, Malaysia perlu meningkatkan keupayaan reka bentuk IC, inovasi berasaskan produk dan kecanggihan pembiayaan bagi menyokong kitaran pelaburan jangka panjang sektor semikonduktor.
Satu cadangan utama yang diketengahkan ialah penubuhan Institut Semikonduktor khusus sebagai platform penyelarasan antara industri, kerajaan, universiti dan pembiaya.
Ia berperanan membina saluran bakat khusus, meningkatkan literasi pelabur dan mempercepatkan peralihan Malaysia kepada ekonomi berpaksikan inovasi.
Menurut WOU, aspek pendidikan juga perlu bergerak seiring perubahan industri dengan penekanan kepada model pembelajaran berasaskan amali dan keperluan industri sebenar, selain usaha menarik serta mengekalkan bakat teknologi dari seluruh ASEAN.
Roundtable ini berlangsung dalam konteks Pelan Tindakan Teknologi AI Negara 2026–2030, yang meletakkan modal insan, inovasi dan pembangunan ekosistem sebagai teras pertumbuhan industri masa hadapan.
Para panelis menekankan keperluan kerjasama lebih rapat antara sektor awam, swasta dan akademik bagi mengelakkan pertindihan dasar serta memaksimumkan impak ekonomi.
Roundtable itu dihadiri pemain industri, rakan ekosistem, kepimpinan teknologi, wakil kerajaan negeri serta komuniti akademik, sekali gus menandakan kesungguhan pihak berkepentingan untuk meletakkan Malaysia pada landasan ekonomi teknologi bernilai tinggi. - DagangNews.com



