
SEBERANG PERAI – Kadar kelahiran yang semakin menurun dan unjuran Pulau Pinang bakal menjadi negeri menua dalam beberapa tahun lagi mendorong kerajaan negeri mengambil pendekatan menggalakkan lebih ramai rakyat mendirikan rumah tangga menerusi Program Mempelai Emas.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, inisiatif yang dijadual bermula tahun depan itu diharap dapat membuka hati golongan bujang untuk berkahwin sekali gus membina keluarga.
Katanya, peningkatan jumlah pasangan yang mendirikan rumah tangga dan mempunyai keluarga secara tidak langsung mampu menyumbang kepada pertambahan populasi penduduk di negeri ini.
“Ketika ini, kadar kelahiran di Pulau Pinang juga dilaporkan semakin menurun sedangkan, dalam masa beberapa tahun lagi, negeri ini akan dikategorikan sebagai negeri menua.
“Jadi, menerusi program ini (Mempelai Emas), kita (kerajaan negeri) cuba memberi galakan kepada rakyat Pulau Pinang (untuk mula berkeluarga),” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program Deepavali Madani & Kesejahteraan Pengguna 2026 anjuran Pusat Khidmat Bukit Tambun di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bantuan itu terbuka kepada rakyat Pulau Pinang yang pertama kali mendirikan rumah tangga tanpa mengira had umur.
“Apa yang kita cuba buat ialah, kita mahu menyemai satu kesedaran sambil meningkatkan kadar populasi penduduk menerusi kaedah yang sihat (perkahwinan). Butir-butir lanjut kita akan umumkan selepas ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Pulau Pinang mahu lebih ramai rakyat berumah tangga appeared first on Kosmo Online.






