Pulau Pinang masih terlalu awal hendak umum nilai pelaburan hasil misi perdagangan ke AS - Kon Yeow

LocalBusiness & Finance
3 Nov 2026 • 2:40 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pulau Pinang masih terlalu awal hendak umum nilai pelaburan hasil misi perdagangan ke AS - Kon Yeow Image from: Pulau Pinang masih terlalu awal hendak umum nilai pelaburan hasil misi perdagangan ke AS - Kon Yeow amree03/11/2026 - 14:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Nov — Pulau Pinang masih belum dapat menganggarkan nilai pelaburan yang bakal diperoleh daripada misi perdagangan ke Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, memandangkan rundingan dengan syarikat asing kelazimannya mengambil masa bertahun-tahun sebelum dimuktamadkan.

 

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, misi perdagangan yang diketuainya pada 28 September 2026 bukan sekadar bertujuan menarik pelaburan baharu, tetapi turut memperkukuh hubungan dengan syarikat AS serta membantu mengembangkan operasi firma sedia ada di negeri itu.

 

Beliau berkata, proses mendapatkan pelaburan asing melibatkan beberapa peringkat termasuk proses rundingan awal, pemilihan tapak operasi dan pemuktamadan perjanjian, sekali gus menyebabkan hasil sebenar daripada usaha lawatan berkenaan belum dapat dikenal pasti sepenuhnya lagi.

 

"Urus niaga sebegini mengambil masa bertahun-tahun, bermula perbincangan awal dan pemilihan tapak hingga perjanjian dimuktamadkan. Sebab itu, pencapaian penuh misi masih belum diketahui," katanya menjawab soalan Muhammad Fauzi Yusoff (PN-Sungai Dua) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Selasa.

 

Menurut Kon Yeow, delegasi negeri berkenaan mengadakan pertemuan dengan sejumlah 16 syarikat utama di San Jose, California, yang kebanyakannya terlibat dalam industri semikonduktor, reka bentuk litar bersepadu (IC) dan teknologi pembungkusan termaju.

 

Syarikat yang ditemui turut merangkumi sektor produk berteknologi tinggi, reka bentuk, kejuruteraan dan perkhidmatan global, dengan perbincangan memberi tumpuan kepada perkembangan kecerdasan buatan (AI) serta kesannya terhadap pelbagai sektor pekerjaan dan perdagangan.

 

Pulau Pinang_DagangNews2026

 

Beliau berkata, syarikat terbabit turut memaklumkan bahawa permintaan terhadap produk dan pesanan pelanggan masing-masing semakin meningkat, sekali gus menunjukkan ruang pertumbuhan yang lebih besar bagi industri berkenaan pada masa hadapan.

 

"Perkembangan ini membolehkan kerajaan negeri memperoleh gambaran jelas mengenai keperluan syarikat global, termasuk penyediaan pekerja berkemahiran tinggi, kemudahan tapak pengujian serta rangkaian rantaian bekalan yang mampu menyokong rancangan pengembangan operasi mereka," katanya.

 

Kon Yeow berkata, Pulau Pinang turut meneliti beberapa perancangan bagi membantu syarikat mempercepatkan tempoh pembangunan produk baharu, meningkatkan kapasiti pengujian serta mengintegrasikan aktiviti reka bentuk, pembuatan dan pengujian di satu lokasi.

 

Menurut beliau, usaha berkenaan penting bagi memastikan ekosistem industri berteknologi tinggi Pulau Pinang terus memenuhi keperluan pelabur global, khususnya ketika perkembangan AI meningkatkan permintaan terhadap produk dan penyelesaian semikonduktor.

 

Sehubungan itu, kerajaan negeri akan terus memperkukuh ekosistem industri dan hubungan strategik dengan syarikat antarabangsa bagi membuka peluang pelaburan baharu, meskipun nilai sebenar komitmen pelaburan hasil misi perdagangan AS itu masih belum dapat ditentukan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved