Pulau Pinang pertimbang pelaksanaan BDR

LocalPolitics
27 Mar 2026 • 5:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kon Yeow (kanan) menyempurnakan Majlis Pelancaran Gen.AI Chatbot (ChatMBPP) Majlis Bandaraya Pulau Pinang di Pusat Beli Belah Queensbay pada Jumaat.
image is not available
Kon Yeow (kanan) menyempurnakan Majlis Pelancaran Gen.AI Chatbot (ChatMBPP) Majlis Bandaraya Pulau Pinang di Pusat Beli Belah Queensbay pada Jumaat.

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang sedang mempertimbangkan pelaksanaan kaedah bekerja dari rumah (BDR) dalam kalangan penjawat awam sebagai langkah mengurangkan pergerakan fizikal susulan peningkatan harga petrol dan diesel ketika ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, walaupun kaedah itu bukan sesuatu yang baharu sejak pandemik Covid-19, kerajaan negeri masih menunggu arahan lanjut sebelum mempertimbangkan mekanisme pelaksanaannya.

Menurutnya, langkah tersebut dilihat sebagai antara pendekatan yang boleh membantu mengurangkan beban kos perjalanan dalam menghadapi cabaran kenaikan harga bahan api.

“Walaupun bukan perkara baharu sejak pandemik Covid-19, kita akan tunggu arahan dan lihat bagaimana untuk melaksanakan supaya sebahagian penjawat awam boleh bekerja dari rumah bagi mengurangkan perjalanan fizikal,” katanya selepas Majlis Pelancaran Gen.AI Chatbot (ChatMBPP) Majlis Bandaraya Pulau Pinang di Pusat Beli Belah Queensbay di sini pada Jumaat.

**media[3473684]**

Dalam pada itu, beliau mengakui kenaikan harga diesel memberi kesan langsung kepada industri di negeri ini termasuk sektor pengurusan sisa.

Sambil memberi contoh perkhidmatan pengangkutan sampah, Kon Yeow berkata, perkhidmatan itu bergantung kepada penggunaan diesel kini berdepan peningkatan kos operasi khususnya bagi kontraktor yang tidak layak menerima diesel subsidi.

“Kita baru selesai satu mesyuarat semalam berkaitan pengurusan sisa pepejal.

"Trak pengangkut sampah menggunakan diesel dan ada kontraktor yang tidak layak membeli diesel subsidi sebaliknya perlu menggunakan diesel industri. Dengan lonjakan harga ini, ia menjejaskan kos operasi mereka,” katanya.

Tambah beliau, situasi itu turut memberi tekanan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana kontraktor berhak menuntut pelarasan kos berdasarkan klausa kontrak sedia ada.

“Berbeza dengan sektor lain seperti pengangkutan feri yang boleh mengurangkan trip, perkhidmatan kutipan sampah tidak boleh dikurangkan kerana ia perlu dilaksanakan setiap hari mengikut jadual.

“Ini bermakna kos tambahan mungkin perlu ditanggung oleh PBT,” ujarnya.

Beliau menegaskan, kenaikan harga bahan api bukan sahaja memberi kesan kepada sektor swasta malah turut membabitkan sektor kerajaan yang perlu berdepan peningkatan kos operasi.

Pada Khamis, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan langkah tambahan termasuk menetapkan peraturan kerja yang lebih anjal seperti pelaksanaan BDR secara berperingkat bagi penjawat awam.

Anwar berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan kelangsungan perkhidmatan awam di samping menyesuaikan kaedah kerja dengan keperluan semasa.

Selain sektor awam, beliau turut menyarankan sektor swasta supaya melaksanakan kaedah sama seperti yang telah diamalkan oleh beberapa syarikat dan institusi perbankan.