GEORGE TOWN – Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) menyediakan bantuan sekali bayar (one-off) sehingga RM2,500 kepada pelajar asnaf fisabilillah yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) bagi meringankan beban kos awal pendaftaran.
Ketua pegawai eksekutifnya, Mohamad Kairi Ghazalli berkata, Skim Agihan Permulaan ke IPT itu merupakan inisiatif berterusan sejak 2007 yang bertujuan membantu pelajar serta ibu bapa menghadapi kos permulaan pengajian, sama ada di dalam atau luar negara.
Menurutnya, skim berkenaan turut mencerminkan komitmen pihaknya dalam memperkasa pendidikan ummah supaya kekangan kewangan tidak menjadi penghalang kepada anak-anak Pulau Pinang melanjutkan pelajaran.
“Pelaksanaan skim ini sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan ia kekal relevan dan memenuhi keperluan semasa pelajar.
“Kini, ia diperluaskan merangkumi pelajar dari peringkat Tingkatan 6 hingga Ijazah Sarjana Muda termasuk di luar negara selain turut melibatkan pelajar politeknik bermula tahun 2024,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, bantuan tersebut diberikan secara sekali bayar kepada pemohon yang memenuhi syarat ditetapkan sekali gus membantu pelajar membuat persediaan lebih teratur sebelum memulakan sesi akademik.
"Bagi kadar bantuan, pelajar sijil, matrikulasi dan tingkatan 6 layak menerima RM800 diikuti Diploma Vokasional (RM900), diploma (RM1,000) dan ijazah sarjana muda (RM1,200).
"Sementara itu, pelajar ijazah sarjana muda di luar negara akan menerima RM2,500 manakala pelajar yang ditempatkan di Sabah dan Sarawak bagi pengajian dalam negara layak menerima tambahan RM200 bagi setiap kategori," ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, antara syarat kelayakan termasuk beragama Islam, warganegara Malaysia serta bermastautin tetap di Pulau Pinang sekurang-kurangnya 12 bulan.
"Selain itu, pemohon tidak boleh menerima bantuan zakat dari negeri lain, permohonan hanya untuk pengajian kali pertama bagi setiap peringkat dan perlu dibuat dalam tempoh enam bulan dari tarikh pendaftaran.
“Permohonan juga mesti bagi pengajian sepenuh masa dengan tempoh sekurang-kurangnya setahun,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Kairi menambah, permohonan boleh dibuat sepenuhnya secara dalam talian melalui portal rasmi Zakat MAINPP selaras dengan transformasi digital.
“Pemohon hanya perlu mendaftar, melengkapkan maklumat, memuat naik dokumen dan menghantar permohonan secara digital sebelum menyemak status di portal sama,” ujarnya.
Kata beliau, usaha tersebut selaras dengan Agenda Pembangunan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (APAI2030) dalam memperkukuh pembangunan sosioekonomi ummah secara mampan.
“Zakat MAINPP akan terus memegang prinsip ‘Amanah Ummah Dijaga, Hak Asnaf Dibela’ demi memastikan kelestarian pendidikan anak-anak Pulau Pinang,” katanya lagi.




