Pulihkan dahulu tenaga kerja sektor kesihatan awam

LocalHealth & Fitness
4 Sep 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pulihkan dahulu tenaga kerja sektor kesihatan awam

DEWAN Pemuda Pas Negeri Selangor (DPPNS) merujuk kepada pengumuman Perdana Menteri pada 30 Ogos 2026 lalu berhubung peruntukan RM1 bilion untuk pendigitalan sektor kesihatan awam.

Difahamkan, pelaburan besar ini akan memfokuskan kepada perluasan Rekod Perubatan Elektronik (EMR) dan peningkatan capaian internet di 150 hospital. Ia juga melibatkan lebih 2,000 klinik kesihatan bagi merealisasikan konsep “Satu Individu, Satu Rekod” supaya capaian rekod pesakit menjadi lebih cekap.

Namun, apalah gunanya sistem internet yang laju dan rekod yang diselaraskan jika hospital dan klinik kerajaan tidak mempunyai doktor yang mencukupi untuk merawat pesakit?

Menurut kenyataan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) pada Jun 2026, hospital awam di negara ini beroperasi pada kapasiti tinggi namun terpaksa berhadapan dengan kekurangan hampir 11,000 pakar perubatan.

Keadaan tenaga kerja ini mengakibatkan petugas kesihatan sedia ada terpaksa menanggung bebanan tugas yang tidak masuk akal (burnout), isu lambakan kerja yang tidak berkesudahan dan kualiti perkhidmatan kepada pesakit yang semakin merosot.

Justeru, DPPNS mendesak agar peruntukan mega ini disemak semula. Sebahagian besar dana sewajarnya disalurkan untuk menyelamatkan petugas kesihatan kita. Kami mencadangkan beberapa dasar praktikal untuk dilaksanakan segera.

Pertama, penyelesaian agihan tidak seimbang (maldistribution) melalui insentif menyeluruh. Kementerian Kesihatan (KKM) mengakui agihan doktor tidak seimbang menjadi satu masalah struktur utama.

Mengadaptasi model Rural Health Workforce di Australia, kerajaan patut menggunakan dana yang ada untuk memperkenalkan elaun kesukaran (hardship allowance) yang tinggi, pemberian perumahan selesa dan laluan kerjaya yang dipendekkan (fast-track promotion) bagi menarik doktor bertugas di hospital daerah dan kawasan pedalaman.

Kedua, pembiayaan penuh untuk latihan kepakaran dan Parallel Pathway. KKM menyasarkan sekitar 13,000 doktor pakar menjelang tahun 2030, antara lainnya dicapai melalui pengukuhan latihan kepakaran serta Parallel Pathway.

Kerajaan seharusnya menaja sepenuhnya yuran peperiksaan antarabangsa Parallel Pathway, menambah peruntukan Biasiswa Hadiah Latihan Persekutuan (HLP), serta memperbanyak slot latihan Master di universiti awam dan menyerap semua pegawai perubatan berstatus kontrak yang layak ke jawatan tetap.

Ketiga, pelaksanaan Dasar Waktu Kerja Selamat (Safe Working Hours). Ketiadaan kawalan terhadap waktu syif kerja on-call telah menghancurkan kebajikan petugas kesihatan kita.

Mencontohi European Working Time Directive (EWTD) di Eropah, kerajaan perlu menggubal polisi yang mengehadkan jumlah maksimum jam bekerja dalam seminggu bagi setiap pegawai perubatan bagi mengelakkan keletihan melampau, kecuaian perubatan (medical error) dan kemurungan.

Keempat, penaiktarafan fasiliti kerja berbanding kosmetik digital. Doktor memerlukan mesin imbasan (CT/MRI) yang tidak rosak, peralatan dewan bedah yang lengkap, dan bilik on-call yang manusiawi.

Menyalurkan wang hanya untuk EMR ketika peralatan asas untuk menyelamatkan nyawa masih usang adalah satu ironi yang menyedihkan.

Sistem kesihatan negara tidak dihidupkan oleh kabel internet atau perisian semata-mata, tetapi ia digerakkan oleh keringat, air mata, dan pengorbanan para doktor, jururawat, serta petugas sokongan.

DPPNS menasihatkan Perdana Menteri dan kerajaan agar berpijak di bumi yang nyata. Berhenti berbangga dengan pengumuman yang megah di atas kertas tetapi hakikatnya tidak menyelesaikan akar umbi masalah.

Pulihkan dahulu tenaga kerja kesihatan kita, barulah sistem digital ini mampu berfungsi dengan berkesan. – UTUSAN

USTAZ DR. AUBIDULLAH FAHIM IBRAHIM
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor (DPPNS)

The post Pulihkan dahulu tenaga kerja sektor kesihatan awam appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved