Sebanyak 15 hospital kerajaan dijangka menjadi antara kumpulan awal yang menerima manfaat peruntukan RM1 bilion bagi memperkukuh kecekapan digital sektor kesihatan awam.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, peruntukan berkenaan yang dinaikkan daripada RM650 juta seperti diumumkan sebelum ini akan mempercepat pelaksanaan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR), selain menyediakan akses Internet termasuk WiFi awam di klinik kesihatan dan hospital kerajaan.
“Saya akan adakan perbincangan, pada peringkat awal 15 hospital dijangka dapat diselesaikan tapi saya akan minta supaya angka ini dinaikkan lagi dan daripada 2,000 klinik kesihatan, kita akan cuba untuk pertingkatkan jumlah yang dapat diuruskan bagi tahun ini.
“Peningkatan peruntukan ini bertujuan mempercepat usaha untuk akses digital di klinik kesihatan dan hospital kerajaan serta program e-medical record yang telah kita laksanakan menerusi kerjasama MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) dan juga Kementerian Kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Amanat Perdana Hari Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Fahmi berkata, pelaksanaan sistem EMR secara rintis di Klinik Kesihatan Padang Besar telah membolehkan doktor mengakses maklumat pesakit secara elektronik tanpa perlu merujuk dokumen fizikal.

Katanya, pelaksanaan itu sekali gus dapat menjimatkan masa bagi mereka yang mendapatkan rawatan.
Sementara itu, Fahmi berkata Kementerian Komunikasi akan membantu memastikan mesej Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pelbagai bantuan dan kejayaan kerajaan disampaikan secara berkesan kepada rakyat.
Beliau berkata, maklumat lanjut mengenai tawaran langganan percuma aplikasi kecerdasan buatan (AI) kepada 100,000 anak muda berusia 18 hingga 30 tahun menerusi program AI untuk Rakyat akan dimaklumkan kemudian.

Terdahulu, ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan, Anwar mengumumkan enam ikhtiar utama termasuk peruntukan RM1 bilion bagi mempercepat urusan rawatan dan mengurangkan tempoh menunggu menerusi sistem EMR.
Selain itu, kerajaan bersetuju mengembalikan kelayakan asas Program Budi MADANI RON95 (BUDI95) daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan dan BUDI Diesel daripada 300 liter kepada 400 liter sebulan.
Kerajaan turut menaikkan ambang pengecualian e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun serta menyediakan langganan AI percuma kepada anak muda.

Anwar turut mengumumkan peruntukan penyelenggaraan semua jenis sekolah bagi 2027 ditingkatkan 50 peratus daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion.
Kerajaan juga memperkenalkan Geran Sejahtera MADANI RM200 juta bagi membantu penjaja, peniaga pasar malam dan ibu yang berniaga dari rumah, selain menambah kemudahan pembiayaan mikro sebanyak RM1 bilion, menjadikan keseluruhan dana bagi 2026 meningkat kepada RM6 bilion.
Sumber: BERNAMA






