Puluhan negeri di AS fail saman batal peraturan imigresen Trump

WorldPolitics
15 Sep 2026 • 10:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Puluhan negeri di AS fail saman batal peraturan imigresen Trump

WASHINGTON: Puluhan negeri, daerah dan bandar di Amerika Syarikat (AS) dipimpin Parti Demokrat menyaman pentadbiran Presiden, Donald Trump bagi menyekat pelaksanaan peraturan baharu yang membenarkan pegawai imigresen menolak permohonan pemastautin tetap individu yang menggunakan bantuan awam seperti baucar makanan dan Medicaid.

Menerusi dua tuntutan mahkamah yang difailkan di Mahkamah Persekutuan Manhattan, kerajaan negeri dan tempatan terbabit mencabar peraturan persekutuan yang dijadualkan berkuat kuasa Jumaat ini.

Menurut Reuters, peraturan berkenaan menetapkan pemohon pemastautin tetap tidak boleh menjadi beban awam atau bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan.

Peraturan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) yang diumumkan pada Julai itu menghidupkan semula dasar yang pernah diperkenalkan pada 2019 semasa penggal pertama pentadbiran Trump.

Dasar tersebut sebelum ini dimansuhkan di bawah pentadbiran bekas Presiden, Joe Biden pada 2022 yang mengguna pakai definisi beban awam yang lebih terhad.

Menjawab tindakan undang-undang berkenaan, jurucakap DHS dalam satu kenyataan melabelkan plaintif sebagai negeri perlindungan dan pemimpin haluan kiri.

Katanya, pihak terbabit ketakutan akan kehilangan dana persekutuan kerana ratusan ribu pendatang tanpa izin dan bukan warganegara mungkin menarik diri daripada program kebajikan AS.

Di bawah undang-undang AS, pegawai imigresen sekian lama diberi kuasa untuk menolak permohonan mana-mana individu sekiranya mereka dinilai berkemungkinan menjadi beban awam yang bergantung kepada kerajaan.

Di bawah era Biden, pegawai imigresen hanya menilai penerimaan bantuan tunai seperti Program Pendapatan Keselamatan Tambahan (SSI) dan bukannya bantuan bukan tunai seperti baucar makanan serta Medicaid.

Bagaimanapun, dasar baharu ini membenarkan semula penilaian terhadap bantuan bukan tunai tersebut.

Negeri-negeri yang terlibat mendakwa tiada had jelas ditetapkan mengenai jenis bantuan yang diambil kira, sekali gus menimbulkan kekeliruan kepada keluarga pendatang.

“Peraturan ini mengeksploitasi ketakutan berkenaan dan memaksa keluarga pendatang melepaskan hak bantuan makanan serta perlindungan kesihatan yang sah di sisi undang-undang,” kata Peguam Cara Negeri New York, Letitia James.

New York, California dan Illinois memimpin tindakan mahkamah yang melibatkan 22 negeri serta daerah Columbia. Tuntutan kedua pula difailkan oleh enam bandar dan daerah besar termasuk Bandar Raya New York, Chicago, San Francisco, dan Seattle.

Datuk Bandar New York City, Zohran Mamdani menyifatkan peraturan baharu itu sebagai usul untuk menjauhkan keluarga imigran daripada program bantuan asas.

Sementara itu, tuntutan mahkamah mendakwa peraturan berkenaan melanggar Akta Prosedur Pentadbiran Persekutuan kerana melampaui bidang kuasa statutori DHS.

The post Puluhan negeri di AS fail saman batal peraturan imigresen Trump appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved