Puma, FAM lancar jersi Harimau Malaya 2026/27 dengan harga bermula RM269

LocalFootball
21 Sep 2026 • 12:56 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Puma, FAM lancar jersi Harimau Malaya 2026/27 dengan harga bermula RM269 Image from: Puma, FAM lancar jersi Harimau Malaya 2026/27 dengan harga bermula RM269 liza21/09/2026 - 12:56 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Sept – Puma Malaysia bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melancarkan jersi baharu Harimau Malaya bagi musim 2026/27 yang menampilkan dua versi iaitu jersi tempat sendiri dan jersi tempat lawan dengan tema “Inilah Warna Kita”.

 

Warna hitam dan kuning dipilih sebagai warna utama yang sinonim dengan Harimau Malaya serta bola sepak Malaysia sebagai lambang kebanggaan, semangat dan kecintaan terhadap pasukan kebangsaan.

 

Puma berkata tema “Inilah Warna Kita” meraikan warna yang menyatukan rakyat Malaysia melalui bola sepak, tanpa mengira latar belakang dan generasi.

 

Menurutnya, jersi baharu itu mencerminkan identiti bersama penyokong Harimau Malaya, daripada padang bola sepak di kawasan kejiranan sehingga ke pentas pertandingan terbesar.

 

“Apabila kita berdiri bersama pasukan kebangsaan, inilah warna kita,” menurut Puma dalam satu kenyataan.

 

Jersi tempat sendiri tampilkan semangat harimau

Bagi jersi tempat sendiri, reka bentuknya diinspirasikan daripada harimau Malaya dengan penggunaan corak jalur harimau yang lebih menonjol.

 

Puma berkata, corak berkenaan melambangkan kekuatan, keberanian dan semangat tidak mengenal gentar dalam menghadapi setiap cabaran.

 

Identiti berasaskan harimau itu turut mencerminkan semangat “Fear None” serta hubungan berterusan antara pasukan kebangsaan dengan para penyokongnya.

 

Sementara itu, jersi tempat lawan menggunakan warna biru laut gelap yang diinspirasikan daripada bahagian biru pada Jalur Gemilang.

 

Reka bentuk jersi tempat lawan turut mengambil inspirasi daripada corak penyamaran dan membawa maksud perpaduan, kekuatan serta ketahanan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.

 

Teknologi PUMA untuk keselesaan pemain

Puma berkata, jersi baharu Harimau Malaya itu menggabungkan identiti kebangsaan dengan teknologi prestasi bagi memberikan keselesaan ringan serta pergerakan yang lebih bebas di atas padang.

 

Antara teknologi yang digunakan ialah ULTRAWEAVE, iaitu fabrik prestasi ultra ringan yang direka untuk memberikan pergerakan semula jadi tanpa sekatan.

 

Teknologi dryCELL pula membantu mengalirkan peluh bagi memastikan pemakai kekal kering dan selesa, manakala ThermoAdapt direka untuk membantu mengawal haba serta mengekalkan keselesaan apabila suhu badan berubah.

 

Pengurus Negara PUMA Malaysia, Steven Tan, berkata jersi Harimau Malaya membawa makna yang lebih besar daripada sekadar permainan bola sepak kerana ia mencerminkan warna dan kebanggaan yang dikongsi rakyat Malaysia.

 

“Melalui ‘Inilah Warna Kita’, kami meraikan warna yang membesar bersama rakyat Malaysia dan kebanggaan yang dibawanya,” katanya.

 

Jersi Harimau Malaya 2026/27 itu kini ditawarkan pada harga RM549 bagi set tulen dewasa (Authentic), RM319 bagi set  dewasa (Replica) dan RM269 bagi set kanak-kanak (Junior), serta boleh didapati menerusi PUMA.com, kedai PUMA, Al-Ikhsan dan Football Republic. - DagangNews.com

Sukan Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved