hamden07/05/2026 - 17:41 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Mei - Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) menurunkan kadar keuntungan bagi skim pembiayaan perniagaan Prosper Grow kepada 3.5% setahun berbanding antara 5% hingga 6.75% sebelum ini dalam usaha membantu mengurangkan tekanan kos dalam kalangan usahawan Bumiputera.
Kadar baharu itu akan berkuat kuasa bagi semua kelulusan pembiayaan mulai 1 Januari 2026 termasuk penerima pembiayaan sedia ada yang diluluskan pada tahun ini.
PUNB berkata, langkah tersebut dijangka memberi manfaat kepada usahawan Bumiputera khususnya mereka yang memerlukan pembiayaan antara RM100,000 hingga RM1 juta bagi mengembangkan perniagaan.
Menurut syarikat itu, pengurangan kadar antara 1.5% hingga 3.25% daripada kadar asal akan memberikan penjimatan kos yang signifikan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Ia membolehkan pengurusan aliran tunai yang lebih baik, meningkatkan daya tahan kewangan serta menyediakan kapasiti lebih besar untuk pelaburan semula dalam pertumbuhan perniagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin berkata, pelarasan tersebut merupakan intervensi yang tepat pada masanya bagi memastikan perusahaan Bumiputera kekal kompetitif dalam suasana ekonomi yang semakin mencabar.
Menurut beliau, pengurangan kadar keuntungan kepada 3.5% bukan sekadar insentif kewangan tetapi langkah penting untuk memastikan usahawan Bumiputera terus berdaya tahan dan mampu berkembang secara mampan dalam jangka panjang.
“PUNB kekal komited untuk menjadi pemudah cara yang relevan dan responsif terhadap keperluan komuniti perniagaan yang sentiasa berubah,” katanya.
Dalam masa sama, semakan semula struktur pembiayaan itu turut menjadi sebahagian daripada pelaksanaan awal Pelan Strategik R30 PUNB bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang memberi tumpuan kepada pengukuhan ekosistem pembiayaan dan sokongan pembangunan usahawan.
Di bawah penstrukturan semula tersebut, PUNB kini menawarkan tiga skim pembiayaan utama iaitu Prosper Grow, Prosper Great dan Prosper Impact/Nova yang disesuaikan mengikut tahap pertumbuhan sesebuah perniagaan.
Maklumat lanjut mengenai skim pembiayaan dan syarat kelayakan boleh diperoleh menerusi laman web rasmi PUNB. - DagangNews.com
